MOSCOW: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, berkata lawatan negara ke Russia mencerminkan hasrat ikhlas beliau untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kededua negara.
Sultan Ibrahim berkata Malaysia menganggap Russia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan penting.
“Hubungan diplomatik kita telah terjalin lebih lima dekad, yang diwujudkan secara rasmi pada April 1967. Saya diingatkan bahawa Malaysia antara negara Asean terawal yang menjalin hubungan dengan Moscow.
“Seperti pepatah Russia, persahabatan lebih berharga daripada wang. Dengan semangat persahabatan inilah, saya percaya akan terus membentuk hala tuju hubungan antara kedua-dua negara demi kepentingan rakyat,” kata Sultan Ibrahim, lapor Berita Harian Malaysia.
Sultan Ibrahim berkata demikian pada pertemuan rasmi dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, selepas majlis sambutan negara di Grand Kremlin Palace di Moscow, pada 6 Ogos.
Turut mengiringi Agong ialah Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengiring; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamad Zin; dan Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai.
Sultan Ibrahim kini dalam lawatan negara pertama ke Russia sehingga 10 Ogos ini atas undangan Encik Putin.
Sementara itu, Encik Putin berkata hubungan antara Moscow dan Kuala Lumpur berada pada tahap yang baik dengan komunikasi berterusan antara pelbagai agensi kerajaan, menurut laporan agensi berita Russia, TASS.
Encik Putin menyambut mesra ketibaan Sultan Ibrahim dan delegasinya ke Kremlin, sambil menekankan bahawa kedua-dua negara telah menjalin hubungan diplomatik selama hampir enam dekad.
“Dialog politik berada pada tahap yang baik. Kita berkomunikasi di peringkat kerajaan dan Parlimen serta sentiasa berhubung.
“Seperti yang saya nyatakan, kita sentiasa berhubung menerusi pelbagai jabatan. Pemimpin kerajaan melawat negara kita, dan saya juga mempunyai hubungan baik dengan mereka,” tegas Encik Putin.
Beliau turut memuji peranan Malaysia dalam Kumpulan Pembangunan Strategik Russia-Dunia Islam yang disifatkannya sebagai “alat kerjasama yang berkesan dan platform persefahaman bersama antara Russia dan negara-negara Islam”.
Dalam pertemuan itu, Encik Putin berkata beliau telah mengunjungi Malaysia sebanyak tiga kali dan menyimpan kenangan manis sepanjang lawatan itu.
“Saya tidak perlu menyebut tentang keindahan alam semula jadinya yang luar biasa. Kami sentiasa disambut dengan mesra dan penuh penghormatan. Saya dan para delegasi yang pernah ke negara Tuanku (Sultan Ibrahim) sentiasa mengenangnya dengan penuh rasa terima kasih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg