Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ahli politik Britain tolak perbandingan nasib rakyat Palestin dengan komuniti Cina M’sia

Jan 15, 2026 | 11:26 PM
Ahli politik veteran Britain, Encik George Galloway (kiri), bersama anaknya, Zein, ketika menghadiri program syarahan umum, ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ di Kuala Lumpur, pada 12 Januari.
Ahli politik veteran Britain, Encik George Galloway (kiri), bersama anaknya, Zein, ketika menghadiri program syarahan umum, ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ di Kuala Lumpur, pada 12 Januari. - Foto FACEBOOK GEORGE GALLOWAY

KUALA LUMPUR: Rakyat Palestin antara golongan paling ganas ditindas di dunia dan keadaan di Malaysia sama sekali tidak menyamai realiti dihadapi oleh rakyat Palestin di bawah pendudukan Israel, kata ahli politik veteran Britain, Encik George Galloway.

Menjawab soalan kontroversi daripada seorang wartawan portal berita, Free Malaysia Today (FMT), semasa syarahan umum bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Januari lalu, Encik Galloway menolak perbandingan antara perjuangan Palestin dengan situasi komuniti Cina di Malaysia.

Sambil menyifatkan persamaan sedemikian sebagai tidak tepat dan keterlaluan, beliau berkata: “Saya belum pergi seluruh Kuala Lumpur hari ini, tetapi saya tidak nampak sebarang kereta kebal. Saya tidak nampak senjata.

“Saya tidak nampak trak tentera. Saya tidak nampak jalan khas untuk golongan tertentu.

“Saya tidak nampak apa-apa yang anda sebutkan. Mungkin saya terlepas sesuatu. Saya bukan pakar dalam isu yang anda bangkitkan,” katanya, seperti yang dilihat dalam klip video yang dimuat naik di Facebook, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Bekas Ahli Parlimen Parti Buruh Britain bagi Rochdale itu menjawab soalan yang mencadangkan persamaan antara isu Palestin dengan kedudukan komuniti Cina di Malaysia, serta dakwaan sebahagian penyokong pro-Palestin di Malaysia juga mempunyai pandangan antipendatang.

Soalan itu juga mencadangkan kedua-dua isu berpunca daripada legasi penjajahan British dan berkongsi unsur xenofobia (perasaan prejudis terhadap pendatang) serta nasionalisme eksklusif.

Encik George berkata beliau tidak melihat penindasan sistemik yang setara dengan apartheid di Malaysia, sambil menyatakan komuniti Cina kelihatan berkembang maju.

“Setakat yang saya lihat, masyarakat Cina hidup dengan baik di Malaysia disebabkan kerja keras dan kepakaran perniagaan mereka. Orang Cina berjaya di mana-mana saja, termasuk di China,” katanya.

Encik Galloway memberitahu beliau menghabiskan sebahagian besar masanya tinggal dan bekerja di China, menolak sebarang cadangan pandangannya didorong oleh nasionalisme atau xenofobia.

“Saya membenci nasionalisme. Saya adalah orang terakhir yang boleh dituduh sebagai sinofobia (perasaan prejudis terhadap kaum Cina) atau xenofobia. Tiada siapa yang boleh lebih pro-China daripada saya,” katanya.

Beliau berkata menyamakan Malaysia dengan sebuah masyarakat apartheid seperti Palestin adalah sesuatu yang dikesali dan ‘agak memalukan’.

Sementara itu, FMT mengeluarkan permohonan maaf menyusuli isu itu yang mencetuskan perdebatan awam yang mengaitkannya dengan unsur perkauman. FMT memaklumkan tindakan tatatertib diambil terhadap wartawan terbabit susulan siasatan dalaman.

“FMT ingin menegaskan pihak kami tidak mengetahui lebih dulu niat wartawan tersebut untuk mengajukan soalan itu, dan kami juga tidak bersetuju dengan komen-komennya.

“Apabila perkara tersebut menjadi bahan perbincangan di media sosial pada 13 Januari, FMT mengambil tindakan segera dengan memulakan siasatan dalaman yang membawa kepada tindakan tatatertib terhadap wartawan berkenaan,” kata FMT dalam kenyataan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg