Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar gesa Israel bebaskan sukarelawan M’sia, antarabangsa yang ditahan

PM Malaysia anggap yang ditahan sebagai utusan kemanusiaan dan bukan ancaman keselamatan
Oct 2, 2025 | 11:41 AM
Global Sumud Flotilla, rakyat, Malaysia
Laporan setakat tengah hari 2 Oktober mengesahkan sekurang-kurangnya 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla ke Palestin, telah ditahan tentera laut Israel. - Foto BULETIN TV3

Tindakan tentera laut Israel menahan sekurang-kurangnya 12 sukarelawan Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza mencetus reaksi segera Putrajaya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendesak pembebasan mereka yang disifatkan sebagai utusan kemanusiaan dan bukan ancaman keselamatan.

“Bebaskan mereka segera! Jangan bertindak kejam dan zalim kepada aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa,” gesa Datuk Anwar dalam satu hantaran di Facebook rasminya pada 2 Oktober.

Datuk Anwar berkata tindakan Israel menyekat misi GSF bukan saja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini semakin lantang menolak penindasan rejim berkenaan.

“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.

“Kerajaan Malaysia akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” tegasnya.

Flotila tersebut, katanya, bukan sekadar konvoi bantuan malah simbol perpaduan dan kasih sayang umat manusia.

“Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan rakyat Gaza yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan zalim dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Datuk Anwar menegaskan Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila melibatkan keselamatan warga Malaysia.

“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan dan kita tidak akan bungkam tatkala hak serta maruah mereka dicabuli,” ujarnya.

Datuk Anwar turut menegaskan bahawa selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia akan kekal berdiri teguh dan tidak berundur daripada mendesak agar kezaliman dan perampasan yang berlarutan sejak sekian lama segera dihentikan.

Setakat ini antara sukarelawan Malaysia dalam misi GSF yang ditahan tentera Israel termasuk penyanyi, Zizi Kirana; selebriti adik-beradik, Nur Heliza dan Nur Hazwani Helmi; pelakon, Ardell Aryana; dan pempengaruh Farah Lee.

Datuk Anwar sebelum itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas GSF yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel menunjukkan sikap angkuh dan tidak menghormati bukan saja hak rakyat Palestin, malah nurani kemanusiaan sejagat,” katanya.

Pada 1 Oktober, beliau turut berinteraksi dan memberikan kata-kata semangat kepada 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Central Warehouse, Sepang, Selangor. 

Pada pagi 2 Oktober, sistem pengesan SNCC melaporkan sekurang-kurangnya sembilan kapal berada pada status ‘diserang’, manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat ‘kecemasan’.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, pada 2 Oktober dilaporkan berkata selain melumpuhkan sistem komunikasi menggunakan radar jammer, konvoi GSF turut dihalang dengan serangan semburan air dari kapal tentera Israel yang menyasarkan kapal kecil bagi menghalang mereka daripada memasuki Zon Merah ke Gaza.

Media antarabangsa pula melaporkan pasukan keselamatan Israel menahan lebih 200 aktivis yang menyertai konvoi GSF dalam usaha menembusi sekatan maritim ke Gaza.

Aktivis yang ditahan berasal dari sekurang-kurangnya 37 negara, termasuk Sweden, Brazil, Perancis, dan Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg