JAKARTA (Indonesia): Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyarankan supaya hubungan Malaysia-Indonesia bukan hanya berkisar kepada kerajaan dengan pemerintah dan perniagaan dengan perniagaan, bahkan juga lebih menumpukan kepada hubungan rakyat dengan rakyat.
Beliau percaya hubungan rakyat kededua negara yang dipererat dan diperkukuh mampu memberikan “dividen politik”, selain pulangan perniagaan serta perdagangan yang baik untuk Malaysia dan Indonesia.
“Di samping kita mempertahankan rasa kebersamaan antara Malaysia dengan Indonesia, kita jangan hanya mengharapkan hubungan yang baik antara pemimpin dan nilai-nilai sentimental.
“Justeru, hubungan ini bukan hanya kerajaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan perniagaan, tetapi lebih kepada hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Ahmad Zahid, yang dalam lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari, berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia, pada 20 April.
Majlis malam itu menghimpunkan rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja dan belajar di Indonesia, serta memberi peluang untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan Datuk Ahmad Zahid.
Beliau dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 7.01 malam waktu Indonesia (8.01 malam waktu Malaysia).
Dalam pada itu mengenai tarif Amerika Syarikat pula, Datuk Ahmad Zahid berkata Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 harus mendorong semua negara anggota blok itu agar meningkatkan kerjasama dalam menangani isu berkenaan.
Datuk Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, selain membincangkan serta meneroka peluang kerjasama termasuk dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau juga akan menyaksikan pertukaran tiga Surat Hasrat dengan dua daripadanya berkaitan kerjasama TVET iaitu antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Pemerintah Wilayah Jakarta serta UniKL dan Pemerintah Wilayah Sumatera Barat.
Selain itu satu lagi antara Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) dan Pemerintah Wilayah Sumatera Barat.
Persediaan bencana di peringkat serantau turut dijangka menjadi agenda dengan sesi lawatan ke Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia dan Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre).
Indonesia adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat sejagat pada 2024 dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Asean.
Jumlah dagangan dua hala pada 2024 direkodkan sebanyak RM116.29 bilion ($34.63 bilion) iaitu meningkat 4.5 peratus berbanding RM111.21 bilion bagi 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg