Di sebalik banyak isu dan polemik politik yang ‘menjentik’ keharmonian kaum di Malaysia kebelakangan ini, Aidilfitri terbukti menjadi titik penyatuan buat semua kaum tanpa mengira perbezaan agama dan latar belakang.
Daripada makanan, persediaan dan sambutan Hari Raya, lagu serta tarian, semua kaum pelbagai peringkat usia menunjukkan jalinan perpaduan yang kuat.
Umum tahu, kedatangan Syawal dan sambutan Hari Raya yang diraikan umat Islam sebagai penduduk majoriti di Malaysia begitu meriah dengan pelbagai kaum tidak ketinggalan merayakannya.
Di media sosial, banyak perkongsian masyarakat berbilang kaum yang menyentuh hati dan mempamerkan semangat kekitaan serta kasih sayang, menambahkan makna dan warna Aidilfitri sebagai bulan kemenangan buat umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.
Perkongsian Cik P Mahaletchumi, 47 tahun, dari Taman Sri Kluang, Kluang, Johor, antara secebis daripada banyak kisah penuh keikhlasan dan kasih sayang yang mencuri perhatian dan menjadi inspirasi buat orang ramai, tatkala beliau menyantuni seorang nenek berusia 80-an tahun menjelang Aidilfitri lalu.
Video yang dimuat turun di akaun TikTok miliknya @priyangka01 pada 29 Mac lalu mendapat lebih 700,000 tontonan dan menyebabkan ibu dua anak berusia 14 dan 20 tahun itu tular di media sosial.
Dalam perkongsian itu, Cik Mahaletchumi dilihat menghadiahkan warga emas itu yang tinggal berseorangan sepasang baju kurung merah untuk digayakan di pagi Raya, malah bibirnya tidak lekang mengucapkan “I Love You” (saya sayang kamu) nenek sambil tanpa kekok mencium wajah tua itu.
Keprihatinan Cik Mahaletchumi mendapat pujian ramai yang rata-rata menyifatkan perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia masih utuh, namun dirosakkan oleh segelintir pihak kerana agenda politik.
“Mana itu racist (perkauman)? Inilah bangsa kita,” tulis pemilik akaun TikTok bernama Logan.
“Walaupun berlainan bangsa, berlainan agama, tapi kaya dengan kasih sayang,” komen @Sabariah.
@SeindahDiana08 pula berkata “semua agama mengajar kita buat kebaikan sesama”.
Kongsi Cik Mahaletchumi yang bekerja sebagai tukang cuci, beliau mengenali warga emas yang dipanggil ‘Nenek’ itu sejak 2022, selepas kerap melalui jalan di kawasan rumah wanita itu untuk pergi bekerja.
Sejak itu beliau kerap menziarahinya serta menghulurkan bantuan, walaupun gajinya tidak seberapa.
“Sebenarnya, tahun lepas (2024) pun saya ada belikan nenek baju Raya dan barangan makanan, cuma ia tidaklah tular.
“Saya pun tak sangka tahun ini (2025) video saya tular pula kerana langsung tiada niat ke arah itu.
“Sejak kecil saya diajar oleh mendiang ibu dan ayah supaya menghormati setiap insan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit mereka.
“Kita ada sedikit (wang) kita bantu sedikit, ada banyak, kita bantu banyak, kita makan dua suap bagi orang juga dua suap.
“Keluarga saya juga banyak belajar memasak dengan orang Melayu dan Islam.
“Walaupun bergaji kecil dan pendapatan mengikut hari, saya gembira dapat bantu nenek terutama keperluan makanannya,” kata Cik Mahaletchumi ketika dihubungi Berita Minggu (BM), yang menganggap warga emas itu sebagai orang tuanya lantaran beliau sudah kematian ibu bapa.
Meraikan perayaan Aidilfitri bagi masyarakat bukan Melayu dan Islam itu kelihatan biasa, namun ia menjadi luar biasa apabila mereka turut sama teruja membuat persiapan untuk menyambut Syawal, sebagaimana umat Islam lain.
Bagi pempengaruh media sosial berbangsa Cina, Cik Wee Yun Nee atau nama popularnya Mek Yun, 28 tahun, budaya dan amalan masyarakat Melayu termasuk dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri sudah sebati dalam diri mereka sekeluarga.
Hidup dan membesar dikelilingi masyarakat Melayu membuatkan sambutan Aidilfitri buat Mek Yun dan keluarganya begitu dekat, sehingga mereka turut meraikannya dengan persiapan menyediakan juadah seperti ketupat, lemang dan rendang, selain persalinan baru seperti baju Melayu dan kurung untuk dipakai di pagi Raya.
Dalam perkongsian sambutan Raya di Instagram gadis berusia 28 tahun itu, bapa Mek Yun, mantan Panglima Briged Artileri Roket, Brigedier Jen (B) Datuk Wee Han Siew, turut berkongsi pengalaman dan kemeriahan menyambut Syawal ketika masih bertugas di dalam tentera.
“Masa zaman Pok (ayah) dalam askar dulu, setiap tahun pok buat majlis makan bersama anggota tentera dan keluarga sambut Hari Raya Aidilfitri sama-sama,” kata Datuk Wee.
Aidilfitri 2025 juga menyaksikan ramai selebriti bukan Melayu dan Islam menghasilkan lagu Raya.
Walaupun ia bukan satu perkara baru, inisiatif mereka harus dipuji kerana lagu juga boleh menjadi medan penyatuan semua bangsa di Malaysia.
Kumpulan muzik berbangsa Cina, 3P dan penghibur, Douglas Lim, antara yang tampil dengan lagu Raya tersendiri masing-masing berjudul Syawal Tiba Berseri-Seri dan Aidilfitri di Malaysia.
Dengan irama dan lirik yang catchy (menarik), ramai menyifatkan lagu ciptaan penyanyi bukan Melayu membawa aura positif terutama dalam penjiwaan semangat keharmonian penduduk berbilang bangsa.
Lagu Aidilfitri di Malaysia yang ditulis dan digubah sendiri oleh Douglas memulakan bait-bait lagu dengan mengucapkan ‘selamat hari raya’ mewakili semua kaum di Malaysia.
Antara bait lirik yang menarik dalam lagu yang turut menampilkan YouTuber berbangsa India, Murty sebagai rakan duet itu berbunyi:
“Selamat Hari Raya, dari kawanmu yang setia, walau budaya berbeza, kita tetap jaga kita. Selamat Hari Raya dari kawanmu yang setia kalau pernah kusakiti, jangan simpan dalam hati”.
Video klip lagu Raya 3P dan Douglas menukilkan pelbagai komen di media sosial.
Antaranya: “Rakyat Malaysia bersatu hati tak kira kaum, ahli politik yang menyebabkan kita berbalah. Bersatulah rakyat Malaysia,” tulis @jack di TikTok.
Begitulah kehidupan di negara masyarakat berbilang bangsa.
Walau apa pun warna kulit dan fahaman agamanya, perpaduan tetap menjadi tunjang utama untuk keharmonian bersama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg