Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Usah beri ruang pada kelompok manipulasi isu sensasi

Turut ingatkan semua pihak perlu elak keluarkan sebarang ucapan, kenyataan menghina
Apr 7, 2025 | 2:52 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan), menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri pada 7 April.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan), menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri pada 7 April. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan semua pihak supaya tidak memberi ruang kepada kelompok ‘bebal’ yang suka memainkan dan memanipulasi isu sensasi di media sosial demi kepentingan sendiri.

Beliau berkata kelompok itu tidak mengambil berat soal kepentingan umum apatah lagi mahu mengangkat kedudukan negara, apabila lebih gemar mengambil sikap menghukum pihak lain.

“Kadang-kadang terlalu diheret mengenai (isu di) media sosial kerana mereka suka (kandungan) sensasi.

“Hal yang kecil boleh ditangani, tetapi dijadikan isu besar, seolah-olah perang boleh berlaku. Soal kuil, perang... soal (peniaga) belon (pun) perang, sedangkan kita boleh atasi dengan baik.

“Sebab itu saya syorkan jangan berikan ruang, sebab sesetengah orang ini bebal dan tidak terfikir soal kepentingan umum.

“Semuanya mahu dipolitikkan dengan cara menghukum,” katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De Seri Endon Puspanitapuri di sini pada 7 April.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar mengingatkan semua pihak perlu mengelak daripada mengeluarkan sebarang ucapan dan kenyataan menghina, khususnya terhadap kaum lain.

“Tak setuju dengan kita, semuanya (dianggap) munafik, jahat belaka, tak boleh begitu. Negara ini memang betul asasnya, tonggaknya Melayu. Bukan saja tonggak, tetapi dijamin Perlembagaan.

“Kedudukan kerajaan dan Majlis Raja-Raja, tidak boleh dimungkiri kenyataan ini, tetapi tidak bermakna kita harus sentiasa, (contohnya) kalau ada kenyataan golongan minoriti kaum lain, mesti terus menghina, tidak boleh, ia tidak pernah menjadi asas dalam ajaran agama kita,” jelasnya, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, Datuk Anwar turut berkata Malaysia perlu meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi sejagat, ekoran tarif perdagangan yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, termasuk kesan daripada kejatuhan pasaran di Amerika yang mencatatkan kerugian sehingga mencecah trilion dolar.

Beliau berkata meskipun asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan angka yang meyakinkan, terdapat beberapa perkembangan luar jangka yang perlu diberi perhatian segera termasuk isu tarif dan hubungan perdagangan dengan Amerika.

“(Nilai) eksport kita ke Amerika (adalah) tinggi. Eksport semikonduktor sahaja mungkin mencecah AS$100 bilion ($134 bilion), iaitu 65 peratus daripada keseluruhan pengeluaran semikonduktor negara. Hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika masih antara yang tertinggi.

“Oleh itu, kita perlu mengambil kira segala kemungkinan kerana kita tidak mahu sebarang dasar ekonomi yang akhirnya akan mendera rakyat, menjejaskan pekerjaan dan kehidupan mereka,” katanya.

Encik Trump mengumumkan satu siri tarif baru pada 2 April yang turut menyasarkan beberapa negara Asean.

Negara Asean paling teruk terjejas adalah Kemboja yang dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus); (Vietnam 46 peratus); dan Myanmar (44 peratus).

Thailand pula dikenakan tarif 36 peratus; Indonesia 32 peratus; Brunei dan Malaysia, masing-masing pada 24 peratus; Filipina 17 peratus; dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.

“Kadang-kadang terlalu diheret mengenai (isu di) media sosial kerana mereka suka (kandungan) sensasi. Hal yang kecil boleh ditangani, tetapi dijadikan isu besar, seolah-olah perang boleh berlaku. Soal kuil, perang... soal (peniaga) belon (pun) perang, sedangkan kita boleh atasi dengan baik.”
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg