Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akaun bank dibeku: Daim, keluarga heret Anwar, SPRM ke mahkamah

Jun 11, 2024 | 11:26 AM
Tun Daim Zainuddin dan keluarga mahu tindakan membekukan akaun bank mereka dibatalkan.
Tun Daim Zainuddin dan keluarga mahu tindakan membekukan akaun bank mereka dibatalkan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin, dan keluarganya memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman dalam usaha memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengembalikan dan membatalkan tindakan membekukan akaun bank mereka.

Beliau dan 23 pemohon lain memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu.

Selain isteri Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, pemohon lain ialah empat anaknya, dan 18 syarikat.

Selain Datuk Anwar dan SPRM, semakan kehakiman itu menamakan empat lagi responden antaranya ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dan kerajaan persekutuan.

Menurut afidavit sokongan Toh Puan Na’imah yang dilihat oleh Malaysiakini, beliau berkata mereka telah terjejas secara negatif dalam skala makro dan mikro disebabkan keputusan dan tindakan responden (termasuk keputusan untuk menyita dan membekukan akaun).

“Saya menyatakan bahawa segala keputusan, tindakan dan/atau kata-kata oleh Responden-Responden yang dinamakan dalam tindakan ini, merupakan satu perkara yang disengajakan untuk menyasarkan saya dan keluarga saya, dengan mengatakan bahawa Pemohon-Pemohon merupakan suatu keluarga yang korup di mana kami telah membuat kekayaan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.

“Saya telah dinasihati oleh peguam cara saya dan saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa segala keputusan, tindakan dan/atau kata-kata oleh Responden Ke-4 adalah untuk tujuan kolateral politik semata-mata,” katanya, lapor Malaysiakini.

Toh Puan Na’imah menegaskan sehingga kini, mereka tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan yang dikaitkan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (Akta AMLACFT) (Perintah Membekukan Harta).

Tun Daim dan pemohon lain memohon pelbagai relif, antaranya untuk mengisytiharkan bahawa pembekuan akaun mereka adalah tidak sah kerana melanggar hak perlembagaan mereka dan didorong oleh mala fide (niat jahat).

Mereka meminta perintah untuk membatalkan tindakan pembekuan akaun mereka, serta ganti rugi am.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditetapkan untuk dikemukakan di Mahkamah Tinggi pada 12 Jun.

Tun Daim dan Toh Puan Na’imah kini menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg