IPOH (Perak): Mahkamah Tinggi Ipoh di Perak, diberitahu bahawa mangsa dalam kes rogol pembantu rumah membabitkan bekas ahli majlis kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong – yang telah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan – telah menarik balik keterangan terhadap bekas majikannya itu.
Peguam bagi warga Indonesia itu, Encik Pathu Rahman, memberi keterangan bahawa anak guamnya telah menarik balik dakwaan rogol terhadap bekas majikannya itu, melalui satu akuan berkanun yang disahkan di Indonesia.
Peguam Yong pula, Encik Salim Bashir, mengesahkan bahawa Encik Pathu memberikan keterangan itu semasa pendengaran permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan bagi membatalkan sabitan rogol terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh (Perak) itu.
“Peguam (Encik Pathu) bertemu dengannya (pembantu rumah) pada 20 Mei 2024 yang lalu,” kata Encik Salim mengenai keterangan Encik Pathu.
Encik Salim menjelaskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Ipoh akan memberi taklimat kepada Mahkamah Persekutuan mengenai keterangan itu pada 7 Mac, iaitu 10 hari sebelum mahkamah tertinggi Malaysia mendengar rayuan Yong untuk membatalkan sabitan bersalah dan hukuman penjaranya.
Prosiding pada 5 Februari dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Encik Muhammad Zaki Abdul Kudos, bersama empat lagi Timbalan Pendakwa Raya.
Encik Muhammad Zaki bagaimanapun membantah keaslian surat pernyataan itu dengan alasan tandatangan mangsa yang tertera padanya berlainan dengan tandatangan pada pengenalan diri mangsa.
Beliau turut berhujah bahawa surat penyataan itu hanya boleh disahkan dikarang berdasarkan pengakuan mangsa tanpa sebarang pengaruh luar daripada pihak tertentu, hanya sekiranya mangsa sendiri datang menghadiri perbicaraan di mahkamah.
Pada 12 November 2024 lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Yong untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan tersebut.
Panel tiga hakim yang diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal, membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan, menyifatkan ia sebagai penting kerana menggambarkan mangsa mungkin memberikan keterangan palsu semasa perbicaraan.
Terdahulu pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan dalam keputusan berbelah-bahagi, menolak rayuan Yong dan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di dalam bilik di rumahnya di Ipoh antara 8.15 malam dengan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun, dengan dua sebatan.
Yong kemudiannya merayu keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu keputusan rayuan dan Yong dibebaskan dengan jaminan RM30,000 ($9,173) dan diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg