Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmanah lulus usul cabar perintah tahanan rumah Najib
Amanah lulus usul cabar perintah tahanan rumah Najib
SHAH ALAM: Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) sebulat suara meluluskan usul menyokong tindakan Badan Peguam Malaysia mencabar perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, pada Konvensyen Nasional Amanah 2026, yang berakhir 22 November.
Usul tergempar yang dibentangkan perwakilan Amanah Johor, Encik Fadhli Umar Aminolhuda, itu turut mengecam perintah tahanan rumah terhadap bekas Presiden Umno berusia 73 tahun itu.
Perwakilan menyifatkan perintah itu sebagai bercanggah dengan Perlembagaan dan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.
“Najib telah pun dibuktikan bersalah bukan di satu mahkamah, tetapi di tiga peringkat mahkamah.
“Kesnya bukan kecil, kesnya besar malah masih bersambung lagi kes rasuah, kes sakau (rasuah dan penyelewengan dana) yang dibuat kleptokrat ini.
“Johor membawa usul ini supaya direkodkan bahawa dalam konvensyen Amanah kita mengecam penahanan rumah Najib.
“Ini kerana Amanah kekal teguh menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang (rule of law) dan doktrin pengasingan kuasa sebagai prinsip teras agenda reformasi institusi negara,” kata Encik Fadhli, lapor portal berita, Malaysiakini.
Kes sabitan yang dirujuk itu membabitkan kes penyelewengan RM42 juta ($13.23 juta) dana SRC International.
Encik Najib disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020, sebelum sabitan dan hukumannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Bagaimanapun, ahli jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional itu menegaskan usul berkenaan tidak bertujuan menjejas kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang memberi persetujuan untuk Encik Najib diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Encik Fadhli berkata Amanah terus menjunjung kuasa Agong mengurniakan pengampunan kepada individu yang disabitkan kesalahan, namun berpendirian perintah tahanan rumah merupakan perkara berasingan yang ‘masih belum jelas kedudukannya dari segi undang-undang’.
“Justeru, kita membawa usul ini supaya kita semua dapat menyokong sepenuhnya tindakan semakan kehakiman, yang membolehkan badan kehakiman meneliti dan memutuskan sama ada perintah tahanan rumah yang diberikan kepada Najib bercanggah dengan Perlembagaan dan oleh itu perlu dibatalkan,” katanya.
Encik Najib mula menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada 10 November lalu, menyusuli perintah Mahkamah Tinggi.
Tahanan rumah itu dijadualkan sehingga 23 Ogos 2028.
Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 10 November bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membolehkan tahanan rumah itu.
Badan berkenaan turut memohon pembatalan keputusan tersebut serta penggantungan pelaksanaannya sekiranya kebenaran diberikan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian membantah permohonan kebenaran itu dengan hujah keputusan berkaitan kuasa pengampunan Agong tidak boleh diadili di mahkamah.
Pada 12 November, mahkamah menetapkan 17 Mac 2027 untuk mendengar permohonan kebenaran berkenaan.