Amerika bakal namakan Duta Besar ke M’sia yang baru ganti Nick Adams
Amerika bakal namakan Duta Besar ke M’sia yang baru ganti Nick Adams
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat telah menarik balik pencalonan Encik Nick Adams, pengulas politik kontroversi yang sebelum ini dinamakan sebagai Duta Besar ke Malaysia. Seorang diplomat kerjaya kini dijangka mengisi jawatan itu.
Pencalonan Encik Adams pada Julai 2025 mengundang bantahan hebat berikutan retorik sayap kanannya yang berapi-api.
Kenyataan beliau, yang dilihat sebagai Islamofobik, dianggap tidak sesuai dengan Malaysia sebagai negara majoriti Muslim, kata para pengkritik.
Sumber diplomatik Amerika yang enggan namanya disiarkan mengesahkan kepada The Straits Times pada 24 Februari bahawa Encik Adams bukan lagi duta yang ditetapkan oleh Rumah Putih ke Malaysia.
Akhbar Australia, Sydney Morning Herald, sebelum ini melaporkan bahawa Encik Adams berkata beliau sebaliknya dinaikkan pangkat ke jawatan yang belum diumumkan, menerusi hantaran di platform X yang berbunyi: “Pengumuman besar akan datang.”
Naib Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY), Raja Ahmad Iskandar Fareez, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan, berkata kepada ST bahawa perkembangan itu disambut baik.
“Seorang tokoh yang memecahbelahkan seperti Nick Adams tiada tempat dalam urusan diplomatik antara Malaysia dan Amerika, terutama ketika ketidaktentuan meningkat susulan isu tarif perdagangan,” kata Raja Iskandar, yang juga antara individu mengetuai bantahan terhadap pencalonan Encik Adams.
Beliau menggesa agar calon baru yang profesional, mahir memahami nuansa budaya Malaysia, mempunyai rekod kelayakan diplomatik yang panjang dan bukannya senarai kontroversi, dinamakan sebagai Duta Besar Amerika ke Malaysia yang baru.
Sementara itu, penganalisis politik, Encik Bridget Welsh dari University of Nottingham Malaysia turut menyeru pendekatan lebih tenang, dengan menyatakan Malaysia memerlukan seorang utusan yang menghormati negara ini.
“Hubungan Malaysia-Amerika sedang berdepan tekanan yang belum pernah berlaku sebelum ini menyusuli tarif dan perubahan geopolitik,” kata Dr Welsh kepada ST.
“Adams kurang pengalaman atau pemahaman mengenai Malaysia, dan politik toksiknya berpotensi memburukkan lagi hubungan,” katanya lagi.
Menggambarkan dirinya sebagai ‘penulis kegemaran’ Presiden Amerika, Encik Donald Trump, Encik Adams membina persona ‘lelaki alfa’ yang keterlaluan, ditandai dengan sifat macho, misogini dan humor kasar.
Sebelum ini pencalonan Encik Adams sebagai Duta Besar Amerika ke Malaysia oleh Encik Trump pada Julai 2025 mencetuskan kontroversi dan bantahan daripada pelbagai pihak di Malaysia.
Bantahan tersebut berpunca antaranya daripada latar belakang beliau yang konservatif ekstrem dan kenyataan kontroversi terhadap Islam serta Palestin.

