KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat memulangkan dana daripada rampasan aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai kira-kira AS$156 juta ($210.7 juta) kepada Malaysia.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Encik Edgard D Kagan, berkata ia adalah penyerahan kali keempat dana yang diperoleh daripada rampasan aset berkaitan 1MDB.
Katanya, pemerintah Amerika komited untuk mengembalikan dana yang diseleweng daripada 1MDB demi kepentingan rakyat Malaysia.
Encik Kagan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 12 Jun untuk mengesahkan pemulangan dana itu berikutan petisyen yang dikemukakan kerajaan Malaysia dan diluluskan Jabatan Keadilan Amerika.
“Transaksi berkenaan menjadikan keseluruhan kira-kira AS$1.4 bilion (RM6.6 bilion) dana yang diselewengkan, sudah dipulangkan kepada Malaysia setakat ini.
“Kami sangat gembira dengan pemulangan aset hasil daripada siasatan Jabatan Keadilan Amerika ini kembali ke Malaysia.
“Wang dengan jumlah luar biasa yang asalnya bagi memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia ini akhirnya dikembalikan kepada pemiliknya,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata mereka yang terbabit dalam konspirasi itu termasuk pegawai, anggota keluarga dan rakan dikatakan menyeleweng lebih AS$4.5 bilion dana 1MDB.
Katanya, mereka disyaki mengubah wang haram melalui beberapa siri transaksi yang rumit dan syarikat palsu dengan akaun bank di Amerika dan di luar negara menggunakan dokumen dan penyataan palsu.
“Transaksi ini dikatakan bertujuan menyembunyikan asal-usul, sumber dan pemilikan dana terbabit yang akhirnya melalui institusi kewangan Amerika untuk digunakan dalam memperoleh dan melabur dalam aset di Amerika dan luar negara,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh semula wang termasuk aset dana 1MDB berjumlah RM23.9 juta.
SPRM dalam satu kenyataan menyatakan pemulihan aset di dalam dan luar negara diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah, selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg