SHAH ALAM: Polis mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi rok legenda Malaysia, Amy Search, berhubung kejadian serangan terhadap penyanyi, Shila Amzah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Mohd Iqbal Ibrahim, berkata laporan dibuat Amy, atau nama sebenarnya, Datuk Suhaimi Abdul Rahman, 67 tahun, pada malam 15 Julai, lebih kepada laporan balas dibuat Shila Amzah sebelum ini.
“Ya ada, tapi lebih kepada covering report (laporan polis yang dibuat untuk melindungi diri) dan penafian. Laporan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Dang Wangi (Kuala Lumpur),” katanya lapor Kosmo! pada 16 Julai.
Terdahulu, media Malaysia melaporkan isteri kepada Amy Search, iaitu Datin Norhasniza Hassan, berkongsi foto mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Sebelum ini, Shila Amzah telah membuat laporan polis pada 10 Julai menyatakan dirinya telah diserang secara lisan oleh seorang penyanyi legenda sebelum mengesahkan individu yang dimaksudkan adalah bapa kepada pelakon Nabila Huda.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata hasil siasatan polis mendapati rasa tidak puas hati kerana dikatakan mencampuri masalah keluarga dipercayai menjadi punca Shila Amzah diserang penyanyi legenda terbabit.
Seorang individu sebelum ini mendakwa Nabila adalah punca Amy bertindak mengherdik Shila Amzah ketika sesi latihan konsert itu.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan Shila Amzah atas dakwaan diserang secara lisan oleh seorang artis legenda semasa sesi latihan konsert di Stadium Merdeka, sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Putrajaya untuk kajian lanjut.
Datuk Mohamed Usuf Jan berkata pihaknya kini menunggu arahan dan keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes berkenaan.
“Setakat ini, kami masih menunggu arahan lanjut termasuk keputusan berkaitan tuduhan dan di bawah seksyen mana kes ini akan dibawa,” katanya dalam kenyataan pada 16 Julai.
Pada 15 Julai, media Malaysia melaporkan kertas siasatan kes berkenaan sudah diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur untuk tindakan susulan sebelum dirujuk ke AGC Putrajaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg