Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shila Amzah dedah identiti penyanyi legenda dalam kes serangan

Jul 14, 2025 | 3:21 PM
Shila Amzah, Amy Search, Nabila Huda
Penyanyi, Shila Amzah, mengakui bahawa penyanyi legenda yang menyerang beliau ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 Mr D.I.Y di Stadium Merdeka di Malaysia pada 10 Julai lalu ialah Amy Search, yang juga bapa kepada pelakon, Nabila Huda. - Foto INSTAGRAM SHILA AMZAH

Di sebalik desas-desus dan teka-teki di media sosial, penyanyi Shila Amzah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau mencampuri atau memberikan komen negatif terhadap rumah tangga seorang penyanyi legenda.

Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 34 tahun, mengakui ada mengeluarkan kenyataan sekadar menyokong luahan anak kepada seorang penyanyi legenda sebagai rakan dalam industri seni.

Beliau turut menambah sekadar memberi sokongan kepada rakan industri itu dan tidak ada menyebut nama sesiapapun.

“Liku-liku kehidupan yang kami berdua lalui dalam keluarga lebih kurang sama.

“Bila saya setuju dengan kenyataannya itu lebih (kaitan) kepada emak tiri saya. Jadi, bila nak kata saya cuba mengacau keluarga orang lain, perkara itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas,” kata Shila dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Sebelum ini, Shila memuat naik status menerusi aplikasi X, menunjukkan beliau menyokong kenyataan anak penyanyi legenda terbabit yang menggelar seorang individu dengan panggilan ‘perempuan itu’.

Menurut penyanyi lagu, Patah Seribu, itu dalam status berkenaan, beliau dapat merasai apa yang diluahkannya.

Pada 10 Julai, Shila membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya ‘diserang’ oleh seorang penyanyi legenda sewaktu sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 Mr D.I.Y di Stadium Merdeka di Malaysia.

Hasil siasatan tersebut, polis mendedahkan bahawa rasa tidak puas hati kerana mencampuri masalah keluarga dipercayai menjadi punca Shila diserang penyanyi legenda lelaki berkenaan ketika sesi latihan konsert baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, dilapor berkata punca kejadian itu adalah rasa tidak puas hati suspek terhadap pengadu yang mencampuri masalah keluarganya.

Bagaimanapun, selepas mengunci mulut mengenai insiden ‘diserang’ penyanyi bertaraf legenda ketika sesi latihan konsert pada 10 Julai lalu, Shila akhirnya mengesahkan identiti individu terbabit di media sosial.

Pada 14 Julai, Shila tampil mendedahkan bahawa penyanyi legenda yang dikaitkan dalam insiden tersebut ialah Amy Search, yang juga merupakan bapa kepada pelakon Nabila Huda.

Menurut Shila, keputusan mendedahkan identiti penyanyi legenda itu dibuat setelah melihat pelbagai spekulasi dan tuduhan tidak berasas yang berlegar dalam kalangan netizen di media sosial.

Bagi menghentikan salah faham dan teka-teki berterusan, beliau mengambil langkah untuk meleraikan andaian kepada pihak media.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram, ibu dua anak itu turut menggesa netizen supaya tidak mengaitkan Nabila dalam hal bersangkutan dirinya dan Amy Search.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg