Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bangkai anak gajah ditanam di lokasi ‘rahsia’, ibu gajah kembali ke hutan

May 12, 2025 | 6:46 PM
Ramai netizen yang bersimpati dengan nasib ibu gajah yang meratapi pemergian anaknya yang dilanggar lori ayam  di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, awal pagi 11 Mei.
Ramai netizen yang bersimpati dengan nasib ibu gajah yang meratapi pemergian anaknya yang dilanggar lori ayam  di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, awal pagi 11 Mei. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK

IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak akan terus memantau ibu gajah yang anaknya mati dilanggar lori ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, awal pagi 11 Mei.

Video tular yang mendakwa ia kembali ke lokasi anaknya dilanggar bukanlah video gajah yang sama, ujar Perhilitan, kepada agensi berita, dalam laporan pada 12 Mei, yang dipetik laman Sinar Harian.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, berkata setakat ini, ibu gajah tersebut kembali ke hutan dan dipercayai telah menyertai semula kumpulannya.

“Tentang video tular yang dikongsi, kami percaya ia bukan video memaparkan gajah yang sama kerana gajah betina jarang keluar secara solo; ia akan keluar berkumpulan. Apa pun, kita terus pantau ibu gajah itu,” katanya ketika dihubungi.

Yusoff berkata bangkai anak gajah jantan terbabit juga telah ditanam di lokasi yang tidak didedahkan.

Terdahulu, seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun mati dilanggar kenderaan dalam kejadian di Kilometer 80 JRTB Gerik–Jeli di sini, awal pagi 11 Mei.

Insiden itu tular selepas video yang dimuat naik ke media sosial oleh saksi kejadian menunjukkan ibu gajah setia menanti, dengan meletakkan kepalanya di lori berkenaan seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan pahit akan kehilangan anaknya.

Ibu gajah itu kemudian terpaksa ditembak dengan ubat pelali dan dibawa untuk dipindahkan semula ke dalam hutan.

Sementara itu, Encik Yusoff berkata pihaknya telah membina jejambat untuk lintasan hidupan liar, khususnya gajah, termasuk memasang 17 papan tanda amaran kehadiran gajah di sepanjang lokasi yang dikenal pasti

“Selain itu, kita juga telah memasang lampu dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan pengguna jalan raya melihat kawasan sekeliling dengan lebih jelas dan memandu secara berhati-hati, sekiranya terdapat haiwan,” katanya lagi - Agensi Berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg