KUALA LUMPUR: Anak lelaki kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Jun, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 ($28,654) untuk menggunakan pengaruhnya bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat teknologi pada 2018.
Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Faisal Hamzah, 40 tahun, mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut tuduhan, perunding syarikat itu didakwa menerima suapan RM100,000 daripada seorang individu sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimilikinya.
Dua syarikat itu dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan tender Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure (Bekalan, Sewaan, Pelaksanaan, Latihan, Sokongan dan Penyelenggaraan Infrastruktur Keselamatan) bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Anak mantan menteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di pusat beli-belah di Jalan Dutamas 1 pada Mac 2018.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mahadi Abdul Jumaat, memohon ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur serta tidak dibenarkan berhubung dengan saksi pendakwaan.
“Saya mohon mahkamah mengambil kira latar belakang tertuduh yang juga anak kepada bekas menteri,” katanya.
Peguam, Encik Ravinder Singh Dhalliwal, yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan RM25,000 atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Cik Rozina membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pendakwaan serta tertuduh disenarai hitam ke luar negara.
Mahkamah turut menetapkan 5 Julai untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini pada 23 Mei lalu, mantan Setiausaha Politik Datuk Hamzah turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menerima rasuah RM350,000 bagi membantu syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42 tahun, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada 24 Mei, atas tuduhan meminta rasuah RM350,000 bagi membantu syarikat mendapatkan tender perkhidmatan sama.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg