JOHOR BAHRU: Bekas Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud, 64 tahun, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 12 tuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan RM1.55 juta ($440,000) antara tahun 2020 hingga 2021.
Adib Azhari bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah pada 2 Jun di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut kertas pertuduhan, Adib Azhari – yang ketika itu memegang jawatan Datuk Bandar Johor Bahru – telah menerima rasuah dengan nilai antara RM10,000 hingga RM250,000 daripada dua individu melalui seorang pengantara.
Ia sebagai upah kerana membantu mendapatkan pelbagai kerja dan kontrak di Johor Bahru antaranya kerja penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrik pam kawalan banjir Sungai Sengkuang, kerja ganti paip, penyelenggaraan pembentungan awam paip serta kerja mengatasi tebing runtuh.
Upah tersebut turut diperolehi kerana membantu mendapatkan kerja penyelenggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget, kerja penyelenggaraan landskap tepi jalan secara tahunan dan penyelenggaraan cantas serta tebang pokok di dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu antara 26 Jun 2020 hingga 6 Ogos 2021 di Jalan Serama 7, Larkin, Johor Bahru.
Bekas Datuk Bandar Johor Bahru itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Adib Azhari turut diperintahkan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan larangan mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 3 Julai sebagai tarikh serahan dokumen, lapor Kosmo!.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg