Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Rafizi diserang, dicucuk jarum suntikan di pusat beli-belah Putrajaya

Dakwa kejadian itu satu bentuk ugutan berkait tugas sebagai ahli politik
Aug 14, 2025 | 1:22 PM
Malaysia, Rafizi Ramli, PKR, attack, serang, anak, isteri
Mantan Menteri Ekonomi Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pandan (Kuala Lumpur) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli (tengah), telah menerima ugutan menerusi serangan terhadap anak dan isterinya pada 13 Ogos. - Foto PARLIMEN MALAYSIA

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam percubaan jahat dan khianat oleh pihak yang terlibat dalam kejadian serangan dengan jarum suntikan terhadap anak dan isteri kepada Ahli Parlimen (AP) Pandan (Kuala Lumpur), Datuk Seri Rafizi Ramli, pada 13 Ogos.

Pada sidang Dewan Rakyat 14 Ogos, Datuk Anwar memberi jaminan kes berkenaan akan disiasat dengan pantas dan telus.

“Mengenai insiden serangan ke atas anak (Datuk) Rafizi, (saya) dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau daripada buli hingga kematian dan kini anak AP Pandan.

“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) untuk teruskan siasatan telus dan rapi kerana budaya ini membimbangkan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya itu, Datuk Rafizi dalam kenyataan di Facebook mendedahkan anak lelakinya berusia 12 tahun diheret seorang lelaki dan dicucuk dengan jarum suntikan.

Mantan Menteri Ekonomi itu dalam sidang media di Parlimen Malaysia pada 14 Ogos mendakwa kejadian serangan terhadap isteri dan anaknya itu adalah satu bentuk ugutan yang berkait rapat dengan tugasnya sebagai wakil rakyat dan ahli politik.

Mengulas motif serangan, Datuk Rafizi mendakwa ia mungkin cubaan untuk menutup mulut beliau berkait penelitian awalnya terhadap sebuah skandal melibatkan wang yang dimaklumkan kepadanya oleh kumpulan pemberi maklumat.

“Jadi saya ingat sesiapa dalang ini mungkin bimbang, kerana biasanya apabila saya tahu satu-satu skandal, saya akan gali dan gali. Pada hemat saya mereka mahu saya berhentilah. Jadi maklumat lanjut siapa dan sebagainya saya serahkan kepada pihak polis,” katanya.

Beliau yang juga mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan, selepas kejadian itu, isterinya menerima mesej berunsur ugutan daripada nombor tidak dikenali. 

“Antara mesej yang diterima berbunyi ‘diam, andai teruskan, Aids, bersama emoji picagari, dihantar pada 1.12 pagi dan sekali lagi pada 11.02 pagi ini (14 Ogos).

“Pada hemat saya, strategi mereka ialah menyerang isteri dan anak untuk mempengaruhi keputusan saya. Saya hanya ada seorang anak, jadi mereka mungkin fikir itu cara paling mudah untuk membuat saya berhenti,” katanya.

Datuk Rafizi berkata anaknya yang diserang telah dibawa ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor, untuk pemeriksaan awal, termasuk ujian darah dan pemantauan rapi.

“Antara kemungkinan bahan yang disuntik ialah racun, dadah, jangkitan virus seperti hepatitis atau HIV, atau mungkin juga picagari kosong.

“Setakat ini tiada kesan segera yang dikesan. Namun, kami akan terus melakukan pemeriksaan setiap enam minggu hingga tiga bulan dan terus memantau keadaan anak,” jelasnya.

Beliau menambah pihak polis telah dimaklumkan mengenai nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ugutan itu dan berharap siasatan akan dijalankan dengan teliti.

Encik Rafizi menegaskan keluarganya telah berdepan pelbagai cabaran sepanjang 15 tahun dalam arena politik, termasuk pernah dipenjarakan dan tidak bercadang untuk mengubah pendirian dengan ugutan itu.

“Saya harap pihak berkuasa memberi ruang penuh untuk siasatan, sementara saya mengambil langkah keselamatan sewajarnya,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat itu, AP kerajaan dan pembangkang mengecam serangan terhadap anak Encik Rafizi dan menggesa siasatan menyeluruh sehingga pelakunya ditangkap dan didakwa.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata polis sedang mengesan dua individu yang dipercayai menyerang anak Datuk Rafizi.

Beliau berkata beberapa tindakan diambil termasuk mendapatkan dan meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg