Bahang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada akhir Mei ini kian hangat dengan ‘perdebatan’ mulut antara calon bertanding, terutama bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden yang sejak awal sudah panas dengan kontroversi.
Beberapa kenyataan terkini Timbalan Presiden semasa, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang dilihat secara terbuka mendedahkan ‘kelemahan’ dan ‘kekurangan’ PKR pantas menarik maklum balas pemimpin parti yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu.
Datuk Rafizi dilihat seolah-olah berada dalam tekanan di sebalik ‘penolakan’ ahli akar umbi terhadap kepimpinannya lalu dikatakan terdesak untuk memberikan pelbagai alasan selepas diramal bakal menanggung kekalahan besar di tangan pencabar tunggalnya, Cik Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR.
Cik Nurul Izzah, puteri sulung kepada Datuk Anwar yang juga Presiden PKR, sejauh ini mendapat sokongan majoriti pemimpin dan ahli akar umbi parti untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan PKR, 23 Mei ini.
Kenyataan demi kenyataan panas dikeluarkan Datuk Rafizi disifatkan tidak sepatutnya berlaku lantaran ia dibimbangi boleh memecah belahkan parti terutama menjelang pemilihan parti dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16, akan datang.
Antara kenyataan terbuka Datuk Rafizi yang mendapat teguran pemimpin parti ialah kritikannya mengenai proses pemilihan PKR dengan mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti dan pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, tidak telus dalam menguruskan pemilihan PKR.
Beliau kemudian membuat pendedahan PKR berada dalam keadaan tidak cukup kuat untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 akan datang dengan kemerosotan ketara sokongan pengundi Melayu, Cina dan India.
Malah, Datuk Rafizi turut ‘menjentik’ ahli PKR bahawa kekalahan Cik Nurul Izzah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden bakal membawa mesej kemungkinan Datuk Anwar ditolak anggota parti.
Selain itu, beliau turut mempertikaikan kemenangan pelakon dan selebriti, Datuk Afdlin Shauki, dalam pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa (Kuala Lumpur) menewaskan Naib Presiden PKR juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang disebut sebagai ‘kem Rafizi’.
Datuk Afdlin meluahkan rasa kesal dengan kenyataan Datuk Rafizi yang dilihat memperlekeh kerjayanya sebagai ‘pelawak profesional’.
Penganalisis politik daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, berpandangan beberapa kenyataan kurang enak Datuk Rafizi kebelakangan ini bukan saja membuka pekung PKR sebagai pertubuhan politik, bahkan memberi ‘bola tanggung’ (modal besar) kepada musuh PKR untuk menyerang parti itu terutama menjelang PRU16 nanti.
“Bagi saya beliau (Datuk Rafizi) dalam tekanan. Kalau diperhatikan, lebih 200 cabang PKR menyokong Nurul Izzah dan Rafizi awal lagi telah kalah. Jadi sebab itu beliau membuat serangan peribadi dengan mempertikai kemenangan individu lain (Datuk Afdlin) dalam pemilihan peringkat cabang.
“Pendedahan beliau mengenai sokongan terhadap PKR dan kesan kepada PKR sekiranya Nurul Izzah tewas dalam pemilihan hanya membuka pekung di dada PKR sendiri demi untuk memberi kesalahan atau kesan negatif terhadap Presiden (Datuk Anwar),” katanya kepada Berita Harian (BH).
Terdahulu, Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengingatkan semua calon dan penyokong agar menjaga adab berkempen dan mengelakkan serangan peribadi.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri R Ramanan, pula dilapor mengingatkan ahli akar umbi PKR supaya membuat keputusan bijak menjelang pemilihan parti dengan tidak terpengaruh calon yang dilihat cuba mengelirukan ahli sesudah gagal untuk menarik sokongan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg