KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 61 tahun terhadap bekas ketua kumpulan Wolf Pack, yang dikaitkan dengan kumpulan ISIS, Daesh, yang diharamkan.
Ini selepas didapati bersalah atas lapan tuduhan termasuk melakukan kegiatan pengganasan dengan mengancam untuk menyerang kuil di Selangor selain mengancam mahu menyerang empat individu berprofil tinggi.
Bagaimanapun, Mahadi Mamat, 39 tahun, seorang pekerja binaan dan penghidap skizofrenia yang dikaitkan dengan kumpulan militan ISIS, hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah memutuskan hukuman bagi semua lapan tuduhan berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 5 Mei 2019.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian pada 30 September selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Mahadi di akhir kes pembelaan.
“Mahkamah mendapati walaupun tertuduh mempunyai skizofrenia atau gangguan mental, tertuduh waras semasa melakukan kesalahan tersebut.
“Oleh yang demikian, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di luar keraguan munasabah terhadap kelapan-lapan tuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tuduhan pertama, kedua, ketiga dan ketujuh, hukuman penjara enam tahun untuk tuduhan keempat, manakala hukuman penjara lima tahun bagi tuduhan kelima, keenam serta kelapan.
Datuk Noorin dalam penghakimannya berkata mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh gagal membuktikan legal insanity (tidak sempurna akal mengikut undang-undang), selain berpuas hati dengan keterangan yang diberikan saksi pembelaan kedua, Dr Ian Llyod Anthony, berkaitan keadaan mental tertuduh.
Selain itu, Datuk Noorin berkata tertuduh telah menyembunyikan senjata dan bom paip dalam tanah serta kebun. Ia jelas menunjukkan tertuduh mengetahui apa yang dilakukannya.
“Setelah meneliti mesej WhatsApp dengan ahli-ahli kumpulan ‘Sejati Sejiwa’, saya mendapati tertuduh faham dan tahu akibatnya selain melihat cara tertuduh memujuk ahli-ahli kumpulan WhatsApp untuk bersamanya,” katanya.
Mengikut tuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap satu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, Selangor, dan mengancam untuk membunuh empat warga Malaysia berprofil tinggi melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.
Bagi tuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dalam persediaan melakukan satu perbuatan pengganasan, manakala bagi tuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganasan kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut.
Mengikut tuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan enam butir pipe bom dan sepucuk pistol separuh automatik serta 15 butir peluru jenis Luger 9mm untuk melaksanakan perbuatan pengganas.
Bagi tuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ untuk melakukan pengganasan, sementara tuduhan kelapan didakwa memiliki barangan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS dan perbuatan pengganas di dalam sebuah telefon bimbit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg