JOHOR BAHRU: Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, membayangkan akan membuat satu pengumuman penting pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 27 Jun, susulan rasa tidak puas hati terhadap senarai calon yang diumumkan Barisan Nasional (BN) Johor.

Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata terdapat beberapa perkara dalam senarai calon berkenaan yang dianggap tidak selari dengan harapan beliau terhadap usaha pembaharuan kepimpinan parti di negeri itu.

Menurutnya, perkembangan terkini dalam Umno Johor menimbulkan kebimbangan dan beliau bersedia meneruskan perjuangan politik meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Hari ini, BN Johor akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada PRN Johor 2026.

“Melihat senarai calon tersebut, ada yang tidak kena kepada Umno Johor.

“Justeru, saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun.

“Perkembangan terkini Umno Johor merisaukan,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Jun.

Datuk Mohd Puad berkata beliau tidak akan berundur daripada memperjuangkan prinsip yang diyakininya walaupun menganggap dirinya hanya seorang pemimpin biasa dalam parti.

“Saya tidak akan menoleh ke belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya.

Kenyataan itu hadir hanya beberapa hari selepas beliau mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Rengit pada PRN kali ini atas faktor usia.

Beliau, yang kini berusia 69 tahun, berpendapat sudah tiba masanya generasi lebih muda diberikan peluang untuk memimpin dan menerajui pentadbiran negeri.

Menurutnya, calon berusia 50 tahun ke bawah yang mempunyai kelayakan, integriti dan komitmen terhadap perjuangan parti perlu diketengahkan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan Johor pada masa depan.

“Saya menegaskan orang muda yang terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang. Namun perkara itu tidak diendahkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, menyeru seluruh anggota parti supaya terus mengekalkan kesetiaan dan kepatuhan kepada perjuangan parti tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang disandang.

Beliau berkata nilai kesetiaan kepada parti tidak seharusnya berubah mengikut keadaan semasa, sebaliknya perlu terus dipertahankan walaupun seseorang itu tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam organisasi.

Menurutnya, anggota parti perlu menghargai peluang dan kepercayaan yang pernah diberikan oleh parti dengan menunjukkan komitmen yang berterusan terhadap perjuangan serta kepimpinan parti.

“Ketika parti mengangkat kita dengan jawatan, kita patuh dan setia kepada parti.

“Namun apabila kita tidak lagi memegang sebarang jawatan, kesetiaan dan kepatuhan itu seharusnya tetap kekal.

“Balaslah kepercayaan dan peluang yang pernah diberikan oleh parti dengan sebaik-baiknya, bukan dengan ugutan atau hasutan,” katanya.

Encik Noor Azleen berkata setiap anggota perlu memahami parti adalah milik bersama dan bukannya hak mana-mana individu tertentu.

Beliau turut mengingatkan golongan muda dalam parti sentiasa memerhati dan menilai tindakan pemimpin yang lebih berpengalaman sebagai contoh dalam memahami makna sebenar kesetiaan terhadap perjuangan politik.

“Jadilah orang parti yang patuh dan setia. Tunjukkan kepada generasi muda dalam parti contoh sebenar tentang erti kesetiaan dan kepatuhan kepada parti.

“Sesungguhnya parti ini milik semua,” katanya.

“Hari ini, BN (Barisan Nasional) Johor akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor 2026. Melihat senarai calon tersebut, ada yang tidak kena kepada Umno Johor.Justeru, saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun. Perkembangan terkini Umno Johor merisaukan.”
Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.