Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anthony Loke: Keputusan projek HSR KL-S’pura akan diumum pada waktu sesuai

Sep 4, 2024 | 12:33 PM
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Putrajaya dijangka mengumumkan keputusannya mengenai kebolehlaksanaan projek mega yang dinanti-nanti, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, apabila tiba masa yang sesuai.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata ada kemajuan dicapai berhubung perkara itu, namun menekankan bahawa pengumuman hanya akan menyusul selepas perbincangan lanjut antara Malaysia dengan Singapura.

“Ada perkembangan tetapi apabila tiba masanya, kami akan umumkan.

“Saya tidak mahu memberi sebarang petunjuk buat masa ini, tidak adil untuk memberi sebarang petunjuk kerana seperti yang saya nyatakan, kita sudah banyak kali menyatakan kedudukan kita mengenai HSR.

“Jadi kita tunggu proses itu berlaku dan apabila sudah ada keputusan, kita perlu bawa kepada pemerintah Singapura juga. Selepas itu kita pasti akan mengumumkannya,” katanya, selepas melancarkan Capsule Transit MAX, sebuah hotel transit mewah pertama di Malaysia, lapor Malay Mail.

Pada Julai, Malaysia dilaporkan telah menyenarai pendek cadangan untuk projek tersebut dan harus memutuskan sama ada akan meneruskan projek bernilai berbilion ringgit itu tidak lama lagi.

Dalam temu bual dengan Bloomberg, Encik Loke menyatakan harapan bahawa Kabinet Malaysia akan membuat keputusan mengenai daya maju projek itu menjelang penghujung suku keempat 2024.

Kerajaan telah menyenarai pendek tiga daripada tujuh konsortium yang mengemukakan cadangan konsep bagi projek mega itu kepada MyHSR Corporation pada awal 2024.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia, sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dissember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia membayar RM320.27 juta ($102.8 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

Projek berkenaan dijangka menyediakan tiga khidmat utama iaitu perjalanan secara langsung antara Malaysia dengan Singapura dalam tempoh 90 minit, khidmat domestik di Malaysia dan perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg