Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengarahkan seluruh jentera parti itu untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, menyusuli perkembangan krisis politik di Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan pada 5 Mei menyusuli Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Setiausaha Agungnya, Encik Anthony Loke, menegaskan keperluan untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk potensi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam masa terdekat.

Beliau, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata dalam mesyuarat CEC pada malam 4 Mei yang membincangkan perkembangan terkini krisis politik di Negeri Sembilan, beberapa perkara telah diputuskan, termasuk pendirian DAP yang tidak akan bersetuju dengan sebarang cadangan pertukaran Menteri Besar Negeri Sembilan dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun.

Krisis itu tercetus menyusuli tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno menarik balik sokongan terhadap Datuk Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada 27 April lalu.

“DAP akan terus mendukung dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. 

“DAP tidak akan bersetuju dengan apa-apa cadangan pertukaran Menteri Besar pada ketika ini, selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada di Negeri Sembilan gagal,” katanya yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Seremban. 

Penegasan itu dibuat ketika Biro Politik PH dan Umno dijadual mengadakan mesyuarat rundingan pada petang 5 Mei di Kompleks Sri Perdana di Putrajaya, yang akan turut membincangkan perkembangan krisis politik di Negeri Sembilan, serta pilihan raya negeri terutama di Melaka dan Johor.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan pertemuan antara gabungan itu dengan Umno/BN pada petang 5 Mei, bertujuan membincangkan pelbagai perkara khususnya membabitkan kemelut politik Negeri Sembilan.

Ketika ini, terdapat gesaan daripada Umno Negeri Sembilan supaya kepimpinan Datuk Aminuddin ditukar bagi memastikan kestabilan politik negeri.

Malah, Pengerusi Umno/Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, sebelum ini menegaskan Umno negeri itu sedia menjadi pembangkang daripada terus bersama Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Aminuddin.

Tindakan menarik balik sokongan terhadap Datuk Aminuddin itu diambil Umno Negeri Sembilan atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar di tengah-tengah krisis berterusan melibatkan empat Undang (pembesar adat atau ketua daerah) yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Bagaimanapun, Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini menegaskan Umno di peringkat Pusat tidak pernah memutuskan sebarang pendirian untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan, sebaliknya menetapkan terus kekal bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Fuad Abdul Karim, berkata dari sudut undang-undang dan amalan perlembagaan di Malaysia, pertukaran Menteri Besar boleh berlaku di luar sidang DUN.

Ini kerana, jelas beliau, pelantikan Menteri Besar tidak semestinya bergantung kepada persidangan DUN, sebaliknya kepada prinsip utama iaitu seseorang calon itu mesti mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN serta diperkenankan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

“Oleh itu, jika terdapat perubahan sokongan politik sama ada melalui peletakan jawatan Menteri Besar, hilang sokongan majoriti, atau keputusan parti, proses pertukaran boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa menunggu sidang DUN berlangsung,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, proses ini dalam realiti politik tidak berlaku dalam vakum undang-undang semata-mata, sebaliknya sangat dipengaruhi oleh dinamika politik semasa.

“Ia boleh berlaku tetapi bergantung juga kepada desakan semasa serta saluran politik yang digunakan, sama ada melalui parti, blok kerajaan, atau institusi istana yang secara dasarnya akan memudahkan atau melambatkan proses tersebut berlaku.

“Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa pertukaran Menteri Besar di mana-mana negeri juga sangat bergantung kepada persetujuan kepimpinan tertinggi parti masing-masing, termasuk Presiden parti.

“Dalam amalan politik Malaysia, walaupun sokongan di peringkat negeri penting, keputusan akhir sering dipengaruhi oleh konsensus antara kepimpinan Pusat parti dan pertimbangan strategik gabungan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik tidak terganggu,” katanya.