SHAH ALAM (Selangor): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan majoriti atau 90 peratus daripada populasi rakyat Malaysia tidak akan terkesan dengan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang akan dilaksanakan pada pertengahan 2025.
Beliau berkata unjuran rakyat terutama pengguna kenderaan yang tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95 kini meningkat kepada 90 peratus, berbanding 85 peratus sebelum ini.
Justeru beliau menasihatkan rakyat tidak perlu runsing dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan bakar itu.
“Mekanisme secara terperinci kita buat. Tapi saya tak terfikir rakyat biasa (perlu) runsing sebab 85 peratus, 90 peratus tak terkesan apa pun kaedah yang akan diperkenalkan dalam isu rasionalisasi (subsidi) minyak RON95.
“Malah kita kaji bukan 85 peratus, tapi 90 peratus tak dikenakan kepada rakyat. Yang dikenakan (penarikan subsidi) siapa? Orang asing dan yang maha kaya.
“Kalau gaji dan pendapatan dia RM50,000 sebulan, bayarlah sikit,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas lanjut, Datuk Anwar berkata sudah mengenalpasti golongan yang tidak akan menikmati penyasaran subsidi RON95, sama seperti yang dilaksana ke atas penyasaran subsidi elektrik sebelum ini.
“Umpamanya kita naikkan (caj) eletrik, itu untuk golongan kaya saja, begitu juga RON95. Saya ingat yang (berdiri) depan (saya) ini, wartawan semua ini tidak terkesan. Melainkan ada wang gelap masuk, itu saya tak tahu,” katanya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 27 Mac berkata kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada warganya selepas separuh pertama 2025, dengan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.
Beliau berkata pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan Malaysia sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Datuk Amir Hamzah berkata penggunaan MyKad sebagai sistem agihan subsidi RON95 selepas mengambil kira agihan Sumbangan Asas Rahamh (Sara), yang mana 700,000 penerima sebelum ini akan diperluas kepada 5.4 juta penerima MyKad bermula 1 April ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg