Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tegas menafikan sebarang hubung kait Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun lalu.
Menyifatkan dakwaan seumpamanya sebagai fitnah, Datuk Anwar menegaskan semua pihak boleh berbeza pandangan berhubung penyasaran subsidi, namun jangan mencetus fitnah dengan mengaitkannya dengan Bank Dunia dan IMF.
Jelas Datuk Anwar, tohmahan mengaitkan beliau dengan Bank Dunia dan IMF sudah berlarutan puluhan tahun sejak dipecat daripada Kabinet pada 1998 dan tuduhan itu sama sekali tidak berasas.
“Tentang cadangan penyasaran subsidi yang dikaitkan dengan IMF, ada seorang ustaz dalam kempen menyebut saya guna preskripsi IMF. Fakta itu lari terus (dari kebenaran).
“Ketika saya jadi Menteri Kewangan pada 1990, kita adakan dasar Belanjawan seimbang. Pada 1993 kita hentikan semua pinjaman daripada Bank Dunia dan IMF sehingga saya dipecat pada 1998.
“Walaupun saya jadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia-IMF, tidak pernah sekali pun kita ambil preskripsi IMF, walaupun itu (jadi) tohmahan pada masa itu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada 2 Julai.
Datuk Anwar sebaliknya menegaskan ketika beliau dipenjarakan pada 1998, mantan menteri kewangan merujuk kepada Bank Dunia dan meminta pinjaman daripada IMF pada 1999.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sama ada langkah mengapungkan harga diesel dan menghapuskan subsidi bahan api itu mempunyai kaitan dengan preskripsi IMF.
Menjawab soalan tambahan Encik Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai pendirian kerajaan Malaysia untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95, Datuk Anwar mengakui ia wajar dilakukan sejak dulu lagi kerana subsidi pukal telah menyebabkan kerugian dan ketirisan berbilion ringgit wang negara kepada pihak yang tidak patut menikmatinya, namun menegaskan ia tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan buat masa ini tumpuan kerajaan adalah untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam mekanisme pelaksanaan subsidi diesel bersasar dan kesannya serta reaksi rakyat.
“Setakat ini belum ada kertas dasar bagi tujuan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 yang dibawa ke peringkat Kabinet. Ada kajian dari dulu, tetapi lebih baik kita lihat dulu kesan langkah yang diambil (penyasaran subsidi diesel).
“Yang penting, kita mesti hentikan subsidi bagi orang kaya dan orang asing sepertimana kita lakukan sekarang dan sejak puluhan tahun lalu kerana tidak ada kerajaan yang sanggup laksanakannya. Bagaimana kaedahnya kita kena fikir supaya tidak bebankan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Anwar menyatakan Malaysia sedia bekerjasama dengan Indonesia dalam aspek penugasan pasukan pengaman di Palestin jika diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Komitmen itu dinyatakannya dalam perbualan telefon bersama bakal Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, yang juga Menteri Pertahanan negara itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg