SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Anwar arah ambil tindakan pengkhianat sebar berita palsu kenaikan harga minyak

Anwar arah ambil tindakan pengkhianat sebar berita palsu kenaikan harga minyak

Apr 2, 2026 | 3:59 PM

Anwar arah ambil tindakan pengkhianat sebar berita palsu kenaikan harga minyak

Penguat kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyoal siasat suspek yang dipercayai terlibat menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga petrol dan diesel di media sosial, yang mencemaskan orang ramai sedang Malaysia menerima tempias akibat konflik Asia Barat.
Penguat kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyoal siasat suspek yang dipercayai terlibat menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga petrol dan diesel di media sosial, yang mencemaskan orang ramai sedang Malaysia menerima tempias akibat konflik Asia Barat. - Foto SKMM

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pengkhianat yang menyebarkan berita palsu berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan serta dasar kerajaan.

Beliau berkata kerajaan kini berdepan cabaran luar biasa dalam menguruskan negara ketika kesan konflik di Asia Barat semakin memuncak, namun keadaan itu diburukkan dengan penyebaran berita palsu yang mengelirukan dan mencemaskan rakyat.

Menurut beliau, setakat ini SKMM telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai kenaikan harga minyak dan elektrik di media sosial.

“Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat, tetapi ini tidak memadamkan kerenah pihak yang terus berdusta, membenci, melakukan sabotaj dan khianat.

“Berapa banyak berita palsu tentang kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan tentang dasar yang tidak benar.

“Maka kita tidak ada pilihan melainkan memohon pihak berkuasa baik PDRM dan SKMM mengambil tindakan,” katanya dalam taklimat khas pada malam 1 April.

Menurut Datuk Anwar penyebaran maklumat palsu itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh menjejas keyakinan awam ketika negara sedang berdepan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik sejagat.

Beliau menegaskan tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan rakyat, terutama dalam keadaan kerajaan sedang berusaha menstabilkan ekonomi serta melindungi kebajikan masyarakat.

Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mempersoal motif di sebalik penyebaran berita palsu tersebut, sambil menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab yang memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan politik sempit.

“Rakyat sedang berdepan kesukaran dan negara pula berdepan cabaran, tetapi masih ada pihak yang memilih untuk menyebarkan berita palsu demi meraih keuntungan politik murahan,” katanya.

Sehubungan itu, Datuk Anwar turut menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat, serta sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayainya.

Sementara itu SKMM dalam satu kenyataan pada 2 April berkata suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap lima individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan kenaikan harga petrol dan diesel di wadah media sosial Threads.

SKMM memaklumkan, tiga daripada lima suspek telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.

“Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 juga telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting pihak ketiga menggunakan identiti visual mereka,” kata SKMM.

Jelas SKMM siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 ($159,301) atau penjara sehingga dua tahun, atau kededuanya sekali jika sabit kesalahan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg