Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar: Asean perlu percepat grid serantau, bagi penuhi permintaan tenaga kesan AI
Anwar: Asean perlu percepat grid serantau, bagi penuhi permintaan tenaga kesan AI
Anwar: Asean perlu percepat grid serantau, bagi penuhi permintaan tenaga kesan AI
KUALA LUMPUR: Krisis tenaga global dan lonjakan permintaan akibat kecerdasan buatan (AI) mendesak Malaysia serta rantau Asean mempercepat integrasi Grid Tenaga Asean (APG). Langkah ini kritikal bagi memastikan bekalan tenaga yang selamat, mampan, dan berpatutan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peralihan ini menuntut lebih daripada sekadar inovasi teknologi; ia memerlukan pelaburan dasar yang strategik serta kerjasama serantau yang erat.
Beliau menyatakan bahawa landskap tenaga dunia kini dibentuk semula oleh tekanan geopolitik dan teknologi, di mana satu pihak mencabar kestabilan bekalan, manakala satu lagi memacu permintaan yang semakin mendesak.
“Kecerdasan buatan (AI) sedang dengan pantas mentransformasikan ekonomi, industri dan masyarakat. Namun transformasi ini membawa kesan (kepada penggunaan) tenaga yang besar.
“Namun AI, jika dilihat secara positif, mewakili peluang untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga.
“Sekarang, daripada meningkatkan kecekapan grid hingga meramal penjanaan tenaga boleh diperbaharui hingga mengoptimumkan penggunaan tenaga industri, AI mempunyai potensi untuk mengukuhkan sistem tenaga,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Kuala Lumpur, pada 4 Jun.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Dalam pada itu, Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan komitmen Malaysia terhadap pembangunan APG bukan lagi sekadar aspirasi, malah satu keperluan bagi memenuhi permintaan tenaga serantau secara lebih cekap.
Beliau berkata, cabaran tenaga dijangka menjadi lebih besar apabila permintaan tenaga di rantau Asean diunjurkan meningkat lebih 60 peratus menjelang 2040, menyusuli proses urbanisasi dan perindustrian berterusan.
“Inisiatif perintis ini sudah menunjukkan bukan sahaja kebolehlaksanaan teknikal integrasi tenaga serantau, tetapi juga keupayaan Asean untuk menukarkan cita-cita bersama kepada operasi yang nyata.
“Namun kemajuan sebegini juga memaksa kita berdepan soalan selanjutnya, bagaimana kita mempercepatkan peralihan sebagai negara, ekonomi dan masyarakat ke arah sumber tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan sambil memastikan ketahanan, kemampuan dan keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Anwar berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan TNB untuk menerajui usaha peralihan tenaga Malaysia dan menyokong pertumbuhan pesat pelaburan dalam AI dan infrastruktur digital di negara ini.
Katanya ini digabungkan dengan kedudukan strategik negara dan persekitaran pelaburan yang kompetitif telah membolehkan Malaysia muncul sebagai destinasi utama dalam persaingan global bagi pembangunan infrastruktur digital.
“Kita terus menarik pelaburan berskala besar dalam pusat data terutamanya di Johor dan Sarawak.
“Ini meningkatkan cabaran, tetapi dalam perkara ini, saya yakin sepenuhnya terhadap keupayaan TNB untuk menerajui peralihan tenaga negara serta memenuhi aspirasi pembangunan AI dan tenaga,” katanya.
