Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, selesai menunaikan tanggungjawab mengundi untuk memilih kepimpinan baru pada Pemilihan Pusat PKR di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru, kira-kira 12.30 tengah hari 23 Mei.
Beliau tiba di hotel berkenaan yang turut menjadi tempat berlangsungnya Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, kira-kira 12 tengah hari, dengan diiringi bersama oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR.
Ketika ditemui media usai pengundian secara fizikal, Datuk Anwar yang juga Perdana Menteri Malaysia gembira dengan proses pemilihan PKR yang berjalan lancar dan tenang.
Ditanya siapakah calon pilihan yang diundi beliau sama ada team (pasukan) Hiruk (Datuk Rafizi Ramli) atau Damai (Cik Nurul Izzah Anwar), Datuk Anwar berkata:
“Saya tiada bawa ‘cai’ (senarai pasukan). Saya tengok mana yang terbaik saya undi. Saya harap dalam keputusan (pemilihan), kededua perkara itu diambil kira yang dirasakan terbaik,” katanya.
Pemilihan bagi pimpinan Pusat PKR berlangsung sejak 8 pagi 23 Mei, dengan lebih 30,000 ahli parti itu di seluruh Malaysia, akan menunaikan tanggungjawab mengundi sehingga 5 petang ini.
Pengundian dijalankan secara fizikal bagi hampir 10,000 perwakilan yang menghadiri Kongres Nasional, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Seramai 20,000 lagi ahli parti mengundi secara dalam talian.
Pemilihan pada kali ini sengit dan panas dengan penyertaan puteri sulung Datuk Anwar yang juga Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden.
Beliau menjadi pencabar tunggal penyandangnya, Datuk Rafizi bagi jawatan itu. Turut dipertandingkan ialah empat jawatan Naib Presiden dan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Datuk Anwar yang juga pengasas PKR tidak dicabar bagi mempertahankan jawatan Presiden parti.
Datuk Anwar kini berada di Johor Bahru, untuk menghadiri Kongres Nasional PKR pada 23 dan 24 Mei, dengan beliau dijadual merasmikan dan menyampaikan ucapan dasar Presiden pada 23 Mei malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pada 22 Mei memaklumkan keputusan pemilihan MPP PKR akan diketahui seawal-awalnya 9 malam 23 Mei.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, pada 23 Mei berkata keputusan rasmi bagi sayap Wanita dan AMK akan diumumkan secara rasmi pada 24 Mei.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg