Naib Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, berkongsi cerita di sebalik keputusannya bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028.
Dalam perkongsian di media sosialnya, puteri sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu menjelaskan beliau menerima berita bahawa Menteri Ekonomi yang juga penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengambil cuti dan sudah mengosongkan pejabatnya, ketika menuju pemilihan parti.
Menurutnya, tindakan Datuk Rafizi – yang dipercayai menyusuli hasil keputusan pimpinan peringkat Cabang April lalu – menyebabkan timbul kebimbangan dan menggusarkan banyak pihak terutama anggota dan pimpinan PKR, bahawa kemungkinan berlaku kekosongan kerusi itu.
Maka, wujud gesaan supaya beliau menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden.
“Kepimpinan parti turut dimaklumkan mengenai sepucuk surat peletakan jawatan yang telah pun disediakan.
“Ketika itu, timbul kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden sekali gus menambahkan keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.
“Perkara ini berlaku susulan beberapa siri kekalahan di peringkat Cabang yang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan saudara Rafizi, serta pimpinan lain di peringkat akar umbi.
“Memandangkan kemungkinan kekosongan kepimpinan ini menggusarkan ramai pihak, ada yang membuat seruan agar saya tampil menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden,” katanya dalam hantaran di Facebook pada 22 Mei.
Mantan Ahli Parlimen (AP) Lembah Pantai (Kuala Lumpur) itu turut menjelaskan gesaan untuk beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden telah disokong 201 daripada 220 cabang parti.
“Hanya pada hari terakhir penamaan calon (9 Mei), saudara Rafizi mengumumkan pencalonannya, selepas saya menyambut seruan (bertanding) yang diberikan,” katanya.
Cik Nurul Izzah menjadi pencabar tunggal Datuk Rafizi bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang berlangsung bermula 8 pagi hingga 5 petang 23 Mei, dengan keputusan awal pemilihan dijangka diumumkan pada 23 Mei malam ketika pelancaran Kongres Nasional PKR 2025 oleh Datuk Anwar.
Sebelum ini, spekulasi memuncak ketika Datuk Rafizi mengambil cuti daripada tugas rasmi kerajaan selama beberapa hari, usai pemilihan peringkat Cabang yang keputusannya tidak memihak kepada calon yang sealiran dengannya dalam PKR.
Datuk Rafizi kemudian menjelaskan keputusan bercuti diambil bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku semasa pemilihan parti di peringkat Cabang apabila timbul 190 bantahan di seluruh Malaysia.
Namun, sepanjang tempoh kempen untuk pemilihan PKR, Datuk Rafizi dilihat mengeluarkan pelbagai kenyataan jelik, termasuk mendedahkan pelbagai kisah dalaman PKR dan melakukan serangan terhadap pimpinan parti lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg