Topik diikuti
Pergi ke BHkuYang di-Pertuan Besar N. Sembilan batal pelantikan 10 Exco
Menteri Besar pertikai keputusan; dakwa tindakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak ada kuat kuasa undang-undang
Yang di-Pertuan Besar N. Sembilan batal pelantikan 10 Exco
Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan berdepan ketidakpastian baharu apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan semua Exco negeri itu, berkuat kuasa serta-merta pada 20 September.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dalam reaksi balasnya pada 21 September menyusuli pembatalan pelantikan Exco itu mendakwa, tindakan Tuanku Muhriz adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negeri Sembilan pada malam 20 September, keputusan Tuanku Muhriz untuk membatalkan pelantikan Exco terbabit dibuat selepas mendapati barisan Exco itu memungkiri sumpah jawatan mereka.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, dilaporkan berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang ahli Exco Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Sepuluh ahli Exco berkenaan masing-masing mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
“Mereka telah berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia (Tuanku Muhriz) dan kepada Institusi Diraja, bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Mereka telah memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September. Maka Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta.
“Setiap individu berkenaan telah dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut melalui warkah,” katanya, menurut kenyataan itu.
Berikutan itu, Datuk Azizi berkata, Datuk Ismail perlu mengemukakan senarai calon ahli Exco yang baru untuk pertimbangan dan persetujuan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) UUTKNS 1959.
Daripada 10 ahli dalam Kerajaan Negeri Sembilan, lapan adalah daripada Umno dan Barisan Nasional (BN), manakala dua dari Perikatan Nasional (PN).
Pada 16 September, barisan Exco terbabit mengeluarkan kenyataan bersama memaklumkan keputusan kolektif bahawa proklamasi (pengisytiharan) penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 19 April, adalah sah dan berkuat kuasa.
Keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dipengerusikan Datuk Ismail pada 15 September itu turut mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Namun, kenyataan itu kemudian mengundang perdebatan berikutan ahli Exco didakwa tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar.
Mengulas lanjut mengenai pembatalan lantikan ahli Exco itu, Datuk Ismail, berkata beliau tidak pernah dirujuk atau memberi nasihat berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan sebagaimana dikehendaki menurut Perkara 38(5) UUTKNS.
“Oleh yang demikian ditegaskan bahawa mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seorang Exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
“Adalah ditegaskan bahawa Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.
“Dengan itu, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baharu kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Datuk Ismail berkata Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah.
