Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar desak keadilan dunia tangani konflik Asia Barat, peningkatan Islamofobia

Jun 23, 2025 | 1:02 PM
Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), semasa pertemuan dengan pimpinan PKR Sarawak.
Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), semasa pertemuan dengan pimpinan PKR Sarawak. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Malaysia mendesak keadilan dunia dalam menangani konflik di Asia Barat, khususnya berhubung serangan terhadap Iran dan penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin, sambil menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan Islamofobia.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa masyarakat dunia agar terus memberi tekanan ke atas Israel supaya menghentikan serangan terhadap Iran, menghentikan keganasan dan memberi keutamaan kepada nyawa manusia serta prinsip keadilan sejagat.

“Untuk perdamaian sebenar, Israel harus ditekan supaya tidak bersikap provokatif dan ganas menyerang negara lain.

“Apabila terus menyerang dan membunuh orang, tentu ada tindak balas dari Iran,” katanya ditukil Berita Harian Malaysia, ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Dengan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, di Kuching, Sarawak pada 22 Jun.

Mengulas serangan terbaru terhadap Iran dan kemungkinan tindak balas negara itu, Datuk Anwar berkata Malaysia mengambil pendirian adil dan tekal dalam mempertahankan hak asasi manusia.

“Di Gaza, wanita dan kanak-kanak terus dibunuh. Kini Iran pula diserang dan mereka memilih untuk melawan. Campur tangan daripada kuasa luar termasuk Amerika Syarikat hanya akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Beliau berkata sebarang ketegangan yang membawa kepada gangguan di Selat Hormuz juga boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.

Sementara itu, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan Islamofobia dengan memberi amaran bahawa normalisasi sentimen anti-Islam semakin digunakan untuk mewajarkan serangan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kejadian diskriminasi dan serangan terhadap umat Islam telah mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Normalisasi Islamofobia telah menjadi alasan utama bagi jenayah Israel terhadap Palestin dan Iran, serta penindasan umat Islam di beberapa negara,” katanya dalam kenyataan negara pada Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-51 di Istanbul, Turkey, lapor Malaysiakini.

Datuk Mohamad turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap kekejaman sistematik Israel ke atas Palestin serta pencerobohan haram terbaru rejim itu terhadap Iran yang telah mengakibatkan kematian orang awam Iran yang tidak bersalah.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa bertindak hanya mengukuhkan kepercayaan Israel bahawa ia kebal daripada sebarang tindakan.

“Kelumpuhan Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) terhadap kekejaman Israel amat memalukan.

“Tiada keamanan tanpa keadilan. Konsep keadilan itu sendiri menuntut kita menolak syarat yang tidak masuk akal dan mustahil yang dikenakan terhadap penubuhan negara Palestin,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg