KUALA LUMPUR: Lapan pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mengumumkan telah keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri.

Pengerusi MKM, Encik Ram Erfan Zur Nuqman, mengesahkan perkara itu pada satu sidang media di Petaling Jaya, Selangor, pada malam 11 Mei.

“Kami menolak budaya mempertahankan parti secara membuta tuli ketika prinsip perjuangan semakin ditinggalkan.

“Sehubungan itu, lapan ahli MPP MKM mengumumkan keluar daripada PKR hari ini (11 Mei),” katanya pada sidang media itu, lapor portal berita, Malaysiakini.

Encik Ram Erfan turut menjelaskan keputusan yang dibuat mereka bukan kerana diperalatkan oleh mana-mana pihak.

Selain Encik Ram Erfan, Timbalan Pengerusi, Encik R Paarveen; Naib Pengerusi II, Encik Ismail Hakim; Setiausaha Kerja, Encik Muhammad Zuhair Hazman Zohari; Setiausaha Kerja II, Cik Khairunnabiha Baharin turut mengumumkan keluar PKR.

Selain itu, Bendahari, Cik Emy Azariena; Ketua Penerangan, Encik Muhammad Luqman Hakim Mohd Kamal dan Ketua Biro Seni, Budaya & Sukan, Encik Muhammad Danish Fitri Mohd Razi, turut umumkan mereka keluar parti.

Sementara itu, Naib Pengerusi III MPM MKM, Encik Saw Zi Xuan, pula meletak jawatan dalam MPP MKM, namun kekal dalam parti.

Kata Encik Ram Erfan, selaras dengan Fasal 13.3 Perlembagaan MKM, apabila lebih satu pertiga ahli MPP MKM meletakkan jawatan, maka kepimpinan sayap siswa PKR itu terbubar dengan sendirinya.

“Dengan itu, pemilihan yang baharu perlu dilaksanakan melalui Mesyuarat Agung Khas MKM,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Encik Ram Erfan berkata PKR hari ini bukan lagi parti reformasi yang pernah diyakini oleh anak muda, dan menyenaraikan enam perkara sebagai punca hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Anwar.

“Parti yang dahulu melaungkan perjuangan melawan salah guna kuasa, ketelusan dan kebebasan institusi kini dilihat semakin jauh daripada prinsip tersebut.

“Mungkin ada yang mengatakan ini adalah tembakan sembarangan. Apakah isu spesifik yang kalian nyatakan bahawa kalian tidak boleh berstruktur dalam kerajaan ini?

“Jadi, kita nyatakan kegagalan kerajaan pada pengumuman ini. Saya dan anggota saya rasakan ini antara garis merah yang menyebabkan kita tidak lagi boleh mengkritik kerajaan dengan menjaga dan membaik pulihnya,” katanya lagi.

Antara perkara yang didakwa sebagai kegagalan Datuk Anwar adalah isu mafia korporat; dakwaan seorang Ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta ($3.07 juta) daripada seorang ahli peniagaan; isu saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; dan tekanan ke atas pihak yang kritikal terhadap kerajaan, kegagalan dalam kebebasan media dan pertikaian dalam pemilihan parti.

“Dari awal lagi, PKR dan Datuk Anwar masih gagal menjawab perkara yang dibangkitkan di sini. Kita bayangkan masalah ini akan terus ada sekiranya tiada gerakan yang mendesak kepimpinan PKR untuk berbuat sesuatu.

“Jadi, berdasarkan enam sebab ini kami hari ini hilang kepercayaan kepada Datuk Anwar,” katanya lagi.

Sementara itu, Encik Ram Erfan turut menolak dakwaan kenyataan awal MKM ke atas Datuk Anwar pada 10 Mei tidak pernah dibincangkan dan ia bukan keputusan majoriti MPP sayap parti itu.

“Saya ingin maklumkan jumlah anggota MPP MKM yang menang adalah 15 ahli. Pada awalnya, sebanyak lapan ahli MPP setuju untuk letak jawatan. Maka, ia adalah keputusan majoriti.

“Namun, selepas kenyataan dikeluarkan salah seorangnya menarik balik keputusan letak jawatan. Bayangkan, beliau bersetuju sehingga 7.55 malam untuk letak jawatan. Kenyataan keluar pada 8 malam.

“Kurang dari sejam beliau tarik balik keputusan awal. Kami tidak pasti apakah tekanan dihadapi oleh ahli tersebut sehingga menarik balik keputusan letak jawatan,” katanya.

Untuk rekod, MKM mengeluarkan kenyataan pada 10 Mei menyatakan selepas menilai hala tuju parti, mereka percaya PKR semakin tersasar daripada semangat reformasi asal.

Bagaimanapun, kurang sejam kemudian, Setiausaha Agungnya, Encik Aqeef Salih tampil menafikannya.

PKR menubuhkan MKM pada 2012 bagi mewakili suara mahasiswa universiti awam dan swasta.