KUALA LUMPUR: Naratif ekonomi Malaysia sudah berubah daripada fasa ketidaktentuan kepada pemulihan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata daripada langkah defensif kepada penstrukturan semula yang proaktif telah menyaksikan pertumbuhan kekal stabil, inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah.

Namun, katanya takrif kejayaan bukanlah keselesaan dalam kestabilan, sebaliknya kesediaan negara untuk berdepan gangguan seterusnya.

“Langkah memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan menyalurkan perbelanjaan ke bidang strategik seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur digital serta ekonomi hijau telah mengembalikan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.

“Pertumbuhan kekal stabil, inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah.

“Namun ukuran kejayaan sebenar bukan hanya pada kestabilan, tetapi pada keupayaan kita menghadapi gangguan baru yang bakal datang,” katanya ketika berucap pada Forum Megatrends Khazanah 2025 anjuran Khazanah di Kuala Lumpur, pada 6 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata laluan penyatuan fiskal yang dilaksanakan kini berteraskan tanggungjawab dan keutuhan bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan tujuan jelas dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Keyakinan pelabur akan terus meningkat apabila kerajaan menunjukkan keberanian melaksanakan reformasi, disertai keupayaan untuk berbelanja secara strategik.

“Pertumbuhan modal mesti seiring dengan peluasan sosial berasaskan keadilan, sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata struktur ekonomi yang lebih bersifat terangkum itu memastikan kemakmuran tidak tertumpu kepada segelintir, sebaliknya dirasai seluruh lapisan masyarakat.

“Reformasi ini bukan semata-mata untuk memperkukuh angka makroekonomi, tetapi untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

“Ekonomi bukan matlamat mutlak; ia alat bagi menjamin maruah dan kebajikan manusia,” katanya.

Datuk Anwar turut menegaskan bahawa pendekatan Malaysia terhadap risiko dan ketidaktentuan sejagat mesti berasaskan tadbir urus yang baik kerana tanpa asas terbabit, risiko hanya akan membuka ruang kepada ketidakbertanggungjawaban.

Sementara itu dalam perkembangan lain menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, Datuk Anwar mahu semua parti yang bakal bertanding supaya menjalankan kempen masing-masing dengan baik.

Beliau berkata setiap calon parti bertanding perlu berkempen secara berhemah supaya dapat memberi pilihan sebaiknya kepada rakyat, yang akan menentukan siapakah bakal mendapat mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar. Harap berkempen dengan baik, bagi pilihan sebaiknya kepada rakyat,” katanya lapor BHM.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 6 Oktober mengumumkan pembubaran DUN Sabah, sekali gus membuka laluan kepada PRN17, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi semua 73 kerusi DUN.

Antara parti yang akan bertanding ialah blok politik yang membentuk kerajaan negeri Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah; selain Barisan Nasional (BN) dan gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN) serta Parti Warisan Sabah.