Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank Dunia: M’sia jaya basmi kemiskinan, lonjak ekon, teraju industri halal

Aug 29, 2025 | 4:25 PM
bank dunia, world bank, lonjak ekonomi malaysia
Bank Dunia mengakui kejayaan Malaysia melonjak ekonomi, basmi kemiskinan dan muncul sebagai pemain utama dalam ekonomi halal dunia. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, mendapati tiga pencapaian penting dalam ekonomi Malaysia yang disifatkannya sebagai unsung wins (kejayaan tidak didendang), namun perlu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia itu berkata pencapaian pertama ialah pengurangan kadar kemiskinan yang ketara sejak kemerdekaan.

Beliau berkata hampir separuh penduduk Malaysia dianggap miskin 10 tahun selepas kemerdekaan negara itu.

“Namun hari ini, hanya kira-kira enam daripada setiap 100 rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan.

“Ini bermakna lebih 14 juta rakyat Malaysia berjaya keluar daripada kemiskinan.

“Walaupun usaha untuk menghapuskan kemiskinan sepenuhnya masih diteruskan, pencapaian ini adalah sangat luar biasa,” katanya menerusi hantaran di platform X, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata pencapaian itu juga berjaya dicapai tanpa wujudnya kawasan setinggan kekal seperti sering terjadi di negara lain iaitu satu aspek yang baginya sering diabaikan dalam perbincangan mengenai pembangunan.

Pencapaian kedua yang diketengahkan oleh Dr Apurva adalah kejayaan Malaysia dalam mempelbagaikan ekonomi.

Menurutnya tahap kerumitan ekonomi Malaysia mengatasi semua negara lain yang bergantung pada komoditi pada tahap pendapatan yang sama ketika Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Pada awal 1960-an, sebanyak 95 peratus eksport barangan Malaysia terdiri daripada komoditi asas atau barangan ‘mudah’. Kini, angka itu menurun kepada hanya 30 peratus,” katanya.

Beliau turut menyatakan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita Malaysia kini 3.6 kali ganda lebih tinggi daripada Filipina dan sembilan kali ganda lebih tinggi daripada Zambia, iaitu dua negara yang bermula pada tahap pembangunan yang hampir sama dengan Malaysia.

“Kepelbagaian ekonomi ini meningkatkan taraf hidup rakyat secara langsung,” terangnya.

Dr Apurva berkata Malaysia juga secara senyap muncul sebagai pemain utama dalam ekonomi halal dunia.

Pensijilan dan piawaian halal Malaysia kini menjadi penanda aras sejagat bagi negara lain, ujar beliau.

“Pensijilan dan piawaian Malaysia kini menjadi rujukan sejagat.

“Ini satu lagi kejayaan yang sepatutnya dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg