PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas yang mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi memastikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung dengan lancar.

Beliau berkata setiap pihak termasuk anggota keselamatan, penjawat awam, pasukan teknikal dan perubatan, petugas kebersihan, kontinjen, penggiat seni, warga media serta sukarelawan memainkan peranan penting dalam menjayakan sambutan berkenaan.

“Setiap daripada kalian telah memainkan peranan bermakna dalam memastikan sambutan ini berlangsung dengan tertib, meriah dan penuh jiwa merdeka,” katanya dalam hantaran di laman X, pada 31 Ogos.

Datuk Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang sanggup berkampung di Putrajaya sejak malam 30 Ogos semata-mata bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

“Inilah semangat kebersamaan yang kita dambakan, berhimpun dalam satu tekad, meraikan kemerdekaan dan memperkukuh perpaduan.

“Semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan sepanjang sambutan turut mencerminkan wajah sebenar Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh kerana rakyatnya bersatu dan saling melengkapi,” katanya lapor Kosmo!.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kemerdekaan perlu diterjemahkan kepada pembangunan dan peluang yang dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira tempat tinggal atau latar belakang mereka.

“Merdeka bererti memastikan pembangunan dan peluang dapat dinikmati seluruh rakyat, dari kota hingga ke desa dan pedalaman.

“Sebuah negara menjadi besar apabila tiada sesiapa yang ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata generasi terdahulu berjuang untuk memerdekakan tanah air, manakala generasi hari ini memikul tanggungjawab mengisi kemerdekaan dan membawa Malaysia terus maju.

Menurutnya, kemerdekaan yang dicapai pada 1957 membuka lembaran baru bagi sebuah negara yang mahu menentukan masa hadapannya sendiri.

Ia dibina menerusi pengorbanan, keberanian dan kesatuan hati pejuang terdahulu.

“Generasi kita memikul amanah untuk memastikan Malaysia yang mereka perjuangkan terus aman dan makmur.

“Kemerdekaan bukan sekadar sebuah tarikh, tetapi satu perjalanan untuk membina masa depan dan mengangkat martabat rakyat,” katanya.

Beliau berkata kepelbagaian bangsa, agama, budaya dan pandangan merupakan kekuatan negara apabila rakyat mampu hidup bersama serta saling menghormati.

Kepentingan tanah air, katanya, perlu mengatasi perbezaan kerana semua rakyat berkongsi negara dan masa depan yang sama.

“Dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, kekuatan kita sentiasa terletak pada kemampuan untuk hidup bersama, saling menghormati dan meletakkan kepentingan tanah air mengatasi segala perbezaan.

“Kita mungkin berbeza bangsa, agama, budaya mahupun pandangan, tetapi kita terus berkongsi sebuah tanah air dan masa depan yang sama,” katanya.