PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bersetuju mengembalikan semula kelayakan asas subsidi petrol RON95 (Budi95) kepada 300 liter sebulan bermula 1 September.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman itu ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Hari Kebangsaan 2026, di Putrajaya pada 30 Ogos.

Selain itu, beliau berkata lebih 500,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan.

Menurutnya, keputusan itu antara enam ikhtiar segera kerajaan untuk rakyat yang diumumkan sempena Ambang Merdeka.

“Ini bermakna lebih 16 juta pengguna akan menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan,” katanya lapor MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Datuk Anwar turut mengumumkan penambahan 50 peratus peruntukan penyelenggaraan untuk semua jenis sekolah pada 2027, iaitu peningkatan daripada RM1 bilion ($314 juta) kepada RM1.5 bilion.

Katanya, peruntukan berkenaan meliputi semua aliran pendidikan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.

“Saya turut arahkan Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana oleh sekolah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga akan membuka Program Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat kepada anak muda berusia 18 hingga 30 tahun.

Seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan.

Datuk Anwar menambah, kerajaan turut menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital dan sektor kesihatan awam.

Ini termasuk pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan Internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Katanya lagi, ambang pengecualian e-invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, bermakna perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-invois.

Pada 26 Mac lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyelarasan kelayakan Budi95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April susulan konflik di Timur Tengah, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.