MELAKA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi menegur parti politik agar tidak menggunakan isu perkauman bagi menarik sokongan dan ia patut dihentikan selepas 69 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Menurutnya, keadaan itu bukan perkara baharu dalam politik Malaysia, apabila perselisihan dan serang-menyerang akhirnya menyebabkan isu kaum digunakan, terutama apabila ada pihak berada dalam keadaan terdesak.

“Pada tahun 1950-an saya faham, kita baru nak merdeka, masing-masing bercakap soal kelangsungan kaum mereka.

“Pada tahun 1960-an, negara masih baharu. Nasib baik kita ada tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan yang memikirkan apa yang terbaik untuk negara.

“Kemudian politiknya simpang-siur, bergaduh. Bila bergaduh, serang-menyerang, tarik sokongan dengan menggunakan isu kaum. Apabila nampak terdesak, digunakan isu kaum,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Kebudayaan Cina 2026 di Kota Laksamana, di tengah-tengah bandaraya Melaka, pada malam 20 September.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Encik Steven Sim Chee Keong, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.

Datuk Anwar menambah, Malaysia sudah melalui tempoh panjang sebagai negara merdeka dan tidak seharusnya terus terperangkap dalam pertikaian sedemikian sehingga menyebabkan anak-anak daripada pelbagai kaum berasa asing dalam negara sendiri.

“Mana negara boleh bertahan begini? Berapa tahun merdeka? (Hampir) 70 tahun. Tak habis lagi ke bincang, gaduh. Ini negeri siapa? Ini negeri kita,” ujarnya.

Beliau berkata Malaysia kini berada pada tahap penting dari segi sosial, budaya dan politik. Justeru itu, semua pihak perlu mempunyai keberanian untuk menolak pendekatan yang boleh menjejas semangat kebangsaan dan perpaduan.

“Saya nak tekankan, ini bukan isu politik. Ini isu kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara. Kita mahu Malaysia menjadi negara kita semua,” katanya.

Datuk Anwar berkata sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai mandat untuk menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Saya mesti jaga Melayu, saya mesti jaga Cina, saya jaga India, Iban, Kadazan, kalau tidak, saya tidak layak jadi Perdana Menteri.

“Perdana Menteri mesti jaga semua, dengan keberanian dan keyakinan,” ujarnya.

Beliau berkata semua pihak yang diberi mandat atau sokongan rakyat perlu mempunyai komitmen untuk menjaga rakyat, negara dan masa depan anak-anak sebagai satu negara.

“Siapa sahaja diberi mandat, siapa sahaja disokong, mesti berjanji jaga rakyat, jaga negara, jaga masa depan anak-anak kita,” katanya.