Topik diikuti
Pergi ke BHkuKJ: Anwar, PH perlu muhasabah kenapa hilang sokongan, undi Melayu
KJ: Anwar, PH perlu muhasabah kenapa hilang sokongan, undi Melayu
Mantan Ketua Pemuda Umno turun padang bantu kempen calon BN bagi kerusi DUN Lenggeng
KJ: Anwar, PH perlu muhasabah kenapa hilang sokongan, undi Melayu
Mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, meminta Pakatan Harapan (PH) bermuhasabah mengenai kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan itu, dan berhenti menyalahkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai punca perpecahan.
Beliau berkata dakwaan bahawa kerjasama BN-PN boleh memecahbelahkan masyarakat tidak seharusnya dijadikan alasan bagi menjelaskan prestasi lemah PH dalam kalangan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai lalu.
Menurutnya, berdasarkan hasil kajian yang dibuatnya mengenai PRN Johor, calon-calon PH memperoleh kurang daripada 10 peratus sokongan daripada pengundi Melayu.
“Jadi PH perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka begitu tidak popular dalam kalangan pengundi Melayu, sebelum menyalahkan pihak lain atau mendakwa saya memainkan isu perkauman.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga perlu menjelaskan mengapa PH gagal menarik sokongan pengundi Melayu. Mengapa perlu menyalahkan kerjasama BN-PN?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas turun padang membantu kempen calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, di Dataran Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan, pada 24 Julai.
Encik Khairy, yang juga mantan menteri kerajaan Malaysia, berkata PH perlu menyedari hakikat kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan itu adalah kerana ia gagal mengurus sensitiviti dan persepsi pengundi Melayu.
Selain itu katanya, kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya dan enggan mengaku kegagalan melaksanakannya dengan menyalahkan BN, menguatkan sebab untuk PH ditolak pada PRN Negeri Sembilan.
“Kami (BN) menang besar di Johor sebab orang Johor pun tahu perangai PH tak pernah tunaikan janji, tipu rakyat, scam rakyat, sebab itu di Negeri Sembilan wajar kita tolak PH, ini scammer paling besar,” katanya.
Pada PRN Johor, BN yang bertanding solo di semua 56 kerusi DUN menang bergaya dengan menguasai 48, meningkat berbanding hanya 40 pada PRN 2022.
Prestasi PH pimpinan Datuk Anwar pula merosot apabila hanya berjaya mempertahankan lapan kerusi, berbanding 12 yang dimenangi pada PRN Johor 2022.
Dalam pada itu Encik Khairy, berkata walaupun BN membentuk persefahaman baru dengan pakatan pembangkang – PN – dalam PRN Negeri Sembilan, gabungan itu tidak akan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar, yang hanya berbaki kira-kira setahun saja lagi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
“Demi kestabilan negara, terutama ketika menghadapi krisis sejagat di Asia Barat yang belum lagi selesai, kita profesional dan BN menawarkan diri dan parti kami untuk terus menyokong kestabilan Kerajaan Perpaduan... itu tiada masalah.
“Tetapi keanjalan politik hari ini menuntut supaya kita buat perkara yang sedikit berbeza di peringkat negeri. Sebab itu di Negeri Sembilan, kita lawan PH.
“Kita matang dalam hal ini, tetapi di Negeri Sembilan, kita beri isyarat dan bayangan awal bahawa ini mungkin perubahan yang boleh berlaku pada PRU akan datang,” katanya.
BN-PN mengharungi PRN Negeri Sembilan dengan membentuk persefahaman dalam pembahagian kerusi, dengan BN bertanding dalam hanya 25 daripada keseluruhan 36 kerusi, sementara PN diperuntukkan 11 kerusi.
Persefahaman itu, menurut pimpinan BN-PN, bagi mencapai matlamat menumbangkan kerajaan PH di Negeri Sembilan.
Mengulas usaha itu, Encik Khairy yang juga mesra disapa KJ berkongsi pengalamannya bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Selangor, pada PRU ke-15 pada 2022, apabila berlaku perpecahan undi dengan pertembungan tiga gabungan iaitu PH, BN dan PN.
Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum bertukar ke kerusi Parlimen Sungai Buloh, berkata pecahan undi menyebabkan beliau tewas dalam memenangi kerusi itu di tangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan.
“Sebelum saya pergi bertanding di Sungai Buloh, BN kalah kepada calon PH dengan majoriti 26,000 undi.
“Waktu saya bertanding, majoriti kita kalah turun daripada 26,000 kepada 2,600. Tapi di sebalik cerita majoriti yang turun itu, saya nak ceritakan kenapa kita perlu kerjasama BN-PN.
“Apabila ada undi pecah, kita akan kalah. Waktu saya kalah itu cuma dengan majoriti 2,600 tu, dan saya mendapat 48,000 undi.
“Tetapi calon PAS yang tak berkempen pun dapat 29,000 undi. Jadi saya ceritakan perkara ini supaya tidak berlaku pecah undi. Sebab itu kita (BN) bekerjasama dengan PN di Negeri Sembilan,” katanya.