Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Jangan mengeluh dengan keputusan Olimpik, atlet M’sia sudah usaha sebaiknya

Harapan emas M’sia lebur selepas jaguh lumba basikal dibatalkan penyertaan
Aug 12, 2024 | 6:56 PM
Jaguh lumba basikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan menghampakan impian rakyat Malaysia yang mengharapkan beliau merangkul emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024, selepas dibatalkan penyertaannya apabila beliau tidak sengaja mendahului derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer).
Jaguh lumba basikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan menghampakan impian rakyat Malaysia yang mengharapkan beliau merangkul emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024, selepas dibatalkan penyertaannya apabila beliau tidak sengaja mendahului derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer). - Foto BERNAMA

Impian Malaysia untuk memungut pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi jaguh lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, lebur selepas penyertaannya dibatalkan seawal pusingan pertama keirin lelaki dalam acara sukan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines itu.

Ramai peminat sukan kecewa sejurus harapan disandarkan kepada atlet berusia 36 tahun itu berakhir hampa, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, amat positif dan meminta rakyat Malaysia serta peminat sukan khususnya supaya tidak mengeluh dengan pencapaian wakil negara yang sudah berusaha sebaiknya.

“Kamu tetap dan selamanya permata negara, terima kasih,” kata Datuk Anwar menerusi hantaran di Facebook, dengan harapan dapat meredakan kekecewaan atlet yang menerima jolokan The Pocket Rocketman itu dan peminat sukan seluruhnya.

Pada masa yang sama, Datuk Anwar berkata semua pihak harus menghargai pengorbanan yang sudah dilakukan atlet sejak sekian lama bagi mengharumkan nama negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan dan anak-anak yang terbabit dalam Sukan Olimpik, mereka berusaha sebaik mungkin.

“Mereka sudah berusaha sedaya upaya dengan pengorbanan yang lama, maka ada yang catat kejayaan, ada yang tidak,” katanya.

Ulas Datuk Anwar, kerajaan akan menyiapkan kerangka baru untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara sebagai persiapan ke acara antarabangsa kelak.

“Kita menerima baik keputusan... berhubung harapan dan masa depan mereka, kita akan menyiapkan beberapa kerangka baru untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara,” katanya.

Malaysia hanya berjaya memperoleh dua pingat gangsa melalui acara badminton dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Cik Hannah Yeoh, menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk kekal menyokong pelumba berkenaan, pasukannya dan keluarganya.

“Terlalu banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh keluarganya selama bertahun-tahun kerana ketiadaannya disebabkan waktu latihan dan pertandingan di luar negara.

“Azizul, saya akan sentiasa menyokong keputusan anda untuk berlumba kerana anda tetap salah seorang atlet terbaik dimiliki Malaysia,” kata Cik Yeoh di Facebooknya.

Dalam berdepan ‘kekalahan’ di peringkat awal itu, tuan badan yang meletakkan sasaran menggunung untuk membawa pulang emas buat Malaysia jauh lebih berat memikul dugaan itu.

“Berat mata memandang berat lagi bahu memikul,” kata Datuk Azizulhasni yang sudah 17 tahun menabur bakti buat negara dalam sukan trek berbasikal dan janjinya kepada keluarga, Olimpik Paris 2024 menjadi sukan terakhirnya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.

Pemerhati dan pengulas sukan berpandangan strategi Datuk Azizulhasni untuk menghadiahkan emas dalam acara disertainya sudah bagus, namun nasib tidak menyebelahi selepas beliau tidak sengaja melepasi pacer dalam saringan pertama acara keirin lelaki pada temasya sukan itu.

Datuk Azizulhasni meraih pelbagai kejayaan membanggakan sepanjang kerjayanya termasuklah muncul juara dunia keirin pada 2017 selain meraih dua pingat Olimpik – gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg