KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat sebarang andaian terhadap siasatan yang sedang dihadapi mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Anwar berkata semua pihak terbabit juga tidak perlu terburu-buru, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.
“Mengenai kes Datuk Seri Ismail Sabri, tidak ada pendakwaan lagi, proses siasatan diambil. Jangan kita terburu-buru. Biar kita hormat proses undang-undang.
“Di sebaliknya soalan oh.. orang ini boleh (disiasat), orang ini tak boleh (disiasat).. pun tak boleh juga. Kedua-dua ekstrem. Bagi saya sudah masuk kategori melampau yang tak boleh dipertahankan.
“Siasat tanpa kira. Kalau tanya mengapa tak ada menteri (dalam Kerajaan Perpaduan disiasat), bagi tahu nama, bagi tahu mana rumah dia simpan duit, saya tidak halang tindakan.
“Jangan kita hukum sebelum selesai proses yang telus dan adil,” katanya ditemui pada 5 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempamerkan rampasan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta ($51.2 juta) dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga itu dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Ismail Sabri.
Terdahulu, Datuk Anwar meluangkan masa berbuka puasa bersama Ahli Parlimen serta kakitangan Parlimen di Bangunan Parlimen.
Selesai berbuka, beliau menunaikan solat maghrib berjemaah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg