Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM tempatkan 80 pegawai di kementerian, agensi kerajaan ‘kritikal’

Bantu tingkat tadbir urus, integriti dalam kalangan penjawat awam, kesan kelemahan dalam usaha bendung rasuah
Feb 20, 2025 | 2:02 PM
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan langkah agresifnya membendung rasuah dalam perkhidmatan awam dengan menempatkan 80 pegawai di kementerian, jabatan, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang disifatkan ‘kritikal’.

Pada masa ini, SPRM telah menempatkan 40 pegawai sebagai Ketua Unit Integriti sebagai sebahagian usaha memperkukuh pentadbiran dengan memanfaatkan kepakaran agensi itu dalam tadbir urus dan pencegahan rasuah dalam agensi kerajaan.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 40 lagi pegawai SPRM sedang menunggu penempatan ke kementerian dan jabatan kritikal bagi tujuan yang sama.

Difahamkan, pegawai yang ditugaskan di agensi awam itu memegang jawatan Gred 54 dan Jusa C dan kesemuanya merupakan pegawai integriti bertauliah.

Pegawai-pegawai ini bukan saja membantu dalam meningkatkan tadbir urus dan integriti dalam kalangan penjawat awam, bahkan juga bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ untuk mengesan kelemahan yang boleh menyebabkan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata penempatan pegawai itu dijalankan secara berperingkat kerana perlu melalui proses perjawatan dan isu pentadbiran yang perlu diselesaikan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Penempatan pegawai ini di agensi dan kementerian kritikal telah diputuskan beberapa tahun lalu.

“Namun, berikutan proses perjawatan dan pentadbiran yang diperlukan, ia dilaksanakan secara berperingkat, dengan mengutamakan jabatan paling kritikal terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, dalam mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, baru-baru ini telah memutuskan bahawa lebih ramai pegawai SPRM akan ditugaskan di semua kementerian tidak lama lagi,” katanya, lapor New Straits Times.

Menurut Tan Sri Azam, SPRM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JPA bagi merealisasikan cadangan itu.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan SPRM telah menahan 2,208 penjawat awam yang didakwa terbabit rasuah, dengan 1,070 dituduh, manakala 493 disabitkan kesalahan sejak 2020 hingga 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia dilakukan hasil pembukaan 725 kertas risikan; 3,765 kertas penyiasatan awam dan 2,265 kertas siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan penjawat awam dalam tempoh yang sama.

Malaysia juga baru-baru ini dilapor kekal di kedudukan ke-57 dari 180 negara dan wilayah di seluruh dunia, dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2024, dengan skor 50 mata.

Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menjelaskan antara sebab Malaysia berada di kedudukan dan skor yang sama adalah kerana perniagaan masih berasa masalah rasuah merupakan isu utama yang perlu dibendung dalam sektor awam.

“... Berikutan proses perjawatan dan pentadbiran yang diperlukan, ia dilaksanakan secara berperingkat, dengan mengutamakan jabatan paling kritikal terlebih dahulu.”
Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg