Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disiasat sebagai suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram membabit perbelanjaan kerajaan berjumlah RM700 juta ($212 juta).
Dana terbabit adalah bagi tujuan promosi dan publisiti kerajaan terdahulu dan kerajaan Datuk Ismail Sabri selama 14 bulan pemimpin berusia 65 tahun itu memegang jawatan dari 21 Ogos 2021 hingga 23 November 2022.
Sebelum ini, Ahli Parlimen (AP) Bera (Pahang) itu disiasat sebagai saksi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas empat bekas pegawai kanan ketika pentadbirannya ditahan SPRM, yang membawa kepada penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa.
Selain Ringgit Malaysia, ia merangkumi mata wang baht, riyal, pound sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan.
SPRM turut mendedahkan penemuan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggar bernilai hampir RM7 juta – yang dirampas bersama wang tunai terbabit dari tiga premis, termasuk sebuah safehouse (rumah di lokasi rahsia untuk persembunyian) di Lembah Klang yang ada kaitan dengan Datuk Ismail Sabri dan empat bekas pegawainya itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata Datuk Ismail Sabri disiasat sebagai suspek berdasarkan bukti wang tunai yang ditemukan terkait dengan beliau.
“Dalam hal ini, saya boleh katakan beliau adalah seorang suspek. Ini kerana beliau telah diarah membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36 (1) Akta SPRM 2009.
“Kedua, apabila terjumpa wang-wang ini, beliau antara yang dikaitkan, jadi kita perlu dapatkan penjelasan daripada beliau mengenai penemuan wang ini,” katanya pada satu sidang media kes rasuah berprofil tinggi itu di Putrajaya, pada 3 Mac.
Tan Sri Azam berkata terdapat pelbagai barang kemas lain yang ditemui dalam siasatan itu yang belum sempat dinilai pegawai penyiasat kerana perlu melakukan tugasan lain seperti mengambil keterangan dan memeriksa dokumen.
Pada 22 Februari, Datuk Ismail Sabri dikejarkan ke sebuah hospital swasta selepas rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya akibat tekanan darah tinggi – dipercayai berikutan siasatan SPRM yang sedang dijalankan ke atasnya.
SPRM kemudian mengesahkan telah menyoal siasat beliau di ibu pejabatnya selama lima jam pada 19 Februari, berkaitan kes perbelanjaan kerajaan bagi kempen promosi dan publisiti ‘Keluarga Malaysia’ – agenda nasional yang dibawanya ketika menjadi Perdana Menteri.
Tan Sri Azam berkata SPRM ketika ini sedang menyiasat akaun milik Datuk Ismail Sabri, namun setakat ini belum membekukan Akaun Yayasan Keluarga Malaysia dan akaun pemimpin itu.
Bagaimanapun, 13 akaun bank bernilai RM2 juta milik empat suspek kes lain dalam siasatan kes berkenaan telah dibekukan.
Menurutnya, SPRM dijangka mengambil keterangan Datuk Ismail sekali lagi pada 5 Mac.
Pada 24 Februari, media Malaysia melaporkan SPRM menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki ada kaitan dengan dana politik, dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan Datuk Ismail Sabri.
Ketika itu, SPRM merampas wang tunai RM100 juta yang ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.
Setakat ini, kata Tan Sri Azam, SPRM telah merakam percakapan 31 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg