Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar janji selesaikan isu infrastruktur Rengit jika PH diberi peluang tadbir Johor
Anwar janji selesaikan isu infrastruktur Rengit jika PH diberi peluang tadbir Johor
Dakwa kerap kali ingin bincang dengan Menteri Besar Johor namun dianggap tidak penting
Anwar janji selesaikan isu infrastruktur Rengit jika PH diberi peluang tadbir Johor
BATU PAHAT: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menyelesaikan isu infrastruktur dan kemudahan asas Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit yang terletak di Batu Pahat sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi peluang untuk mentadbir Johor.
Beliau berkata antara isu termasuk masalah ketiadaan bekalan air dan klinik kesihatan yang uzur.
Berucap di hadapan Orang Asli dan penduduk Rengit, Pengerusi PH itu menyuarakan kemusykilan mengenai ketiadaan bekalan air kepada penduduk susulan Johor dikenali sebagai sebuah negeri yang kaya.
“Tak ada air? Ish... Johor negeri kaya, air tak ada? Eh malu aku betul. Negeri Johor tak cukup air? Aduh,” katanya ketika berucap semasa Ceramah PMX DUN Rengit, pada 9 Julai.
Terdahulu, Datuk Anwar bertanyakan kepada orang ramai yang hadir mengenai apakah isu yang belum selesai di kawasan itu, lapor Harian Metro.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana untuk mengubati pesakit sekiranya klinik kesihatan yang sedia ada juga dalam keadaan uzur.
“Klinik uzur? Macam mana nak berubat orang? Kita ingat klinik itu nak ubat orang uzur, ini klinik yang uzur,” katanya.
Menurutnya, bagi menyelesaikan isu kemudahan asas dan infrastruktur seperti itu, maka perubahan perlu dilakukan iaitu dengan menyokong PH.
Dalam pada itu, Datuk Anwar turut menyatakan beliau mahu berjumpa dengan pihak yang mengugut ketua masyarakat yang menghadiri programnya pada malam itu.
Datuk Anwar turut mempersoalkan tindakan sedemikian sedangkan pemimpin masyarakat itu hanya mahu berjumpa dengannya.
Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan Perdana Menteri mendedahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kerap ‘ponteng’ mesyuarat dan menganggap ia sebagai tidak penting.
Tambahnya, beliau kerap memanggil kepimpinan Kerajaan Negeri seluruh Malaysia untuk berbincang, bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat.
Menurut beliau, Datuk Onn Hafiz memandang ringan mesyuarat berkenaan hingga tidak menghadirkan diri ke Kuala Lumpur.
“Dua hari lalu kita panggil mesyuarat di Kuala Lumpur, Premier Sarawak datang, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri datang tapi kadang-kadang Johor, dia ingat itu tidak penting.
“Banyak kali mesyuarat, satu saja Menteri Besar Johor datang... kita nak bincang masalah rakyat, bagaimana nak bangunkan negara,” katanya.
Datuk Anwar turut menitip pesanan kepada golongan muda di Johor menjelang hari mengundi PRN pada 11 Julai ini.
“Jadi saya harap anak-anak muda ingat Melayu tidak rugi kalau pemimpin itu berprinsip, Melayu itu rugi kalau pemimpin itu terima rasuah dan sombong, ada peluang dia sapu, itu rugi,” katanya.
