Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar: JS-SEZ bukti komitmen Persekutuan perkasa Johor
Anwar: JS-SEZ bukti komitmen Persekutuan perkasa Johor
Johor terima RM16b peruntukan dan projek antara 2023 dengan 2025
Anwar: JS-SEZ bukti komitmen Persekutuan perkasa Johor
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi antara bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pembangunan Johor serta menjadikan negeri itu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, inisiatif strategik yang dirundingkan bersama Singapura itu bukan sahaja menarik pelaburan baharu, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Johor.
Katanya, usaha merealisasikan JS-SEZ dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara Malaysia dan Singapura bagi memastikan Johor terus berkembang sebagai hab pelaburan, perdagangan dan industri yang berdaya saing di rantau ini.
“Johor adalah sebahagian daripada Malaysia dan rakyat Johor adalah rakyat Malaysia. Apa yang dilakukan Kerajaan Persekutuan adalah untuk kepentingan rakyat Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Padang Extreme Bukit Gambir pada 22 Jun.
Datuk Anwar berkata selain JS-SEZ, Kerajaan Persekutuan turut memberi tumpuan kepada pelbagai projek pembangunan lain termasuk peluasan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta pembangunan semula kawasan strategik yang berpotensi merangsang ekonomi negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan Johor tidak boleh tertumpu kepada Johor Bahru dan kawasan selatan negeri sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan secara lebih seimbang ke daerah lain seperti Muar, Pontian dan Mersing.
Menurutnya, jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar perlu dirapatkan supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati seluruh rakyat.
“Apa salahnya Johor Bahru maju? Tidak salah. Tetapi kita juga perlu pastikan kawasan lain turut menerima manfaat pembangunan.
“Pembangunan mesti berteraskan keadilan dan ihsan supaya tiada daerah yang terus ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan data pembangunan mengikut daerah bagi membolehkan rakyat menilai sendiri tahap kemajuan serta jurang pembangunan yang masih wujud di Johor.
Dalam pada itu, Datuk Anwar turut mempertahankan rekod Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan peruntukan kepada Johor.
Jelasnya, bagi tempoh 2023 hingga 2025, Johor menyumbang kira-kira RM14 bilion ($4.3 bilion) hasil kepada Kerajaan Persekutuan, namun pelbagai bentuk peruntukan, projek pembangunan dan bantuan yang disalurkan kembali kepada negeri itu mencecah RM16 bilion.
“Gunalah angka yang betul. Kita ambil RM14 bilion tetapi pulangkan RM16 bilion kepada Johor melalui pelbagai projek pembangunan dan program untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata peruntukan perbelanjaan mengurus yang diterima Johor turut meningkat kepada RM8.7 bilion di bawah pentadbiran Kerajaan Madani berbanding sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion setahun sebelum ini.
Selain itu, peruntukan pembangunan untuk Johor juga meningkat dengan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus membolehkan lebih banyak projek infrastruktur dan kemudahan awam dilaksanakan.
Menurut beliau, selepas Sabah dan Sarawak, Johor merupakan antara negeri yang menerima peruntukan pembangunan terbesar daripada Kerajaan Persekutuan.
Datuk Anwar berkata bantuan kebajikan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) turut terus disalurkan kepada rakyat Johor tanpa mengira latar belakang politik.
