Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan Persekutuan digesa kembalikan hasil lebih adil kepada Johor
Kerajaan Persekutuan digesa kembalikan hasil lebih adil kepada Johor
Kerajaan Persekutuan digesa kembalikan hasil lebih adil kepada Johor
Kerajaan Persekutuan digesa mengembalikan hasil yang lebih munasabah kepada Johor bagi memastikan pembangunan negeri serta kesejahteraan hampir lima juta rakyatnya dapat diperkukuhkan.
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata beliau menyokong penuh ucapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang menyeru supaya hasil negeri dikembalikan secara lebih adil kepada Johor.
Tambahnya, cadangan supaya antara 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip daripada Johor dikembalikan semula kepada negeri itu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dan kebajikan dilaksanakan.
Beliau menegaskan tuntutan itu bukan untuk mencetuskan sengketa dengan Pusat, tetapi mahu Johor mendapat pulangan adil atas sumbangan besarnya kepada ekonomi negara.
“Seruan beliau bukan sekadar suara seorang pemimpin, tetapi mencerminkan harapan rakyat Johor yang mahu melihat pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Jun.
Encik Hairi berkata Johor menyumbang lebih RM40 bilion ($12 bilion) setahun kepada hasil negara, namun agihan yang diterima semula sangat kecil berbanding beban pembangunan yang digalas.
Kekurangan dana ini membantutkan usaha kerajaan negeri untuk memacu prasarana awam dan memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat.
Akibatnya, beberapa projek penting yang melibatkan kepentingan rakyat masih berdepan kelewatan, termasuk usaha menaik taraf Kompleks Belia dan Sukan (Kombes) di Larkin yang sehingga kini belum dimuktamadkan walaupun perkara itu telah dibangkitkan kepada Kementerian Belia dan Sukan sejak beberapa tahun lalu.
“Saya akan terus memperjuangkan supaya Kombes dapat dipindahkan ke lokasi baharu dan menerima peruntukan sewajarnya demi kepentingan belia serta atlet Johor,” katanya.
Encik Hairi turut membangkitkan isu pembangunan sektor kesihatan, termasuk Hospital Pasir Gudang yang menurutnya pernah berdepan risiko pembatalan sebelum diselamatkan hasil usaha berterusan pelbagai pihak.
Beliau berkata rakyat juga masih menantikan keputusan berkaitan projek Hospital Sultanah Aminah 2 serta penyelesaian terhadap isu kekurangan doktor dan petugas kesihatan yang memberi kesan kepada mutu perkhidmatan.
Menurutnya, perkara berkenaan memberi kesan secara langsung kepada rakyat biasa yang bergantung kepada kemudahan awam untuk mendapatkan perkhidmatan asas.
“Yang menanggung kesannya bukan golongan atasan, tetapi rakyat marhaen yang memerlukan akses kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat melihat Johor sebagai rakan kongsi strategik dalam pembangunan negara dan memastikan negeri ini menerima hak yang sewajarnya demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Johor serta memastikan segala usaha pembangunan dapat diteruskan walaupun berdepan pelbagai cabaran kewangan dan pentadbiran.
