KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan Malaysia mengutamakan pendekatan yang lebih inklusif dan berhikmah dalam mencari jalan terbaik terhadap sebarang isu berkaitan agama Islam di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan pimpinannya juga terus komited dalam mengemukakan mesej Islam yang rahmah serta berorientasi keadilan dan ihsan seiring semangat Malaysia Madani.
“Saya percaya melalui muafakat dan perbincangan yang tuntas, kita boleh mencari banyak kesepakatan dalam menambah baik dan menguruskan urusan hal ehwal Islam di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menerusi hantaran yang sama, Datuk Anwar turut berkongsi mengenai sesi pertemuan dan musyawarah beliau bersama agamawan di Putrajaya bagi bertukar pandangan mengenai pembangunan hal ehwal Islam serta isu semasa yang berkaitan di Malaysia.
Hadir dalam perbincangan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr Nooh Gadot; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah; dan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.
Turut hadir Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar; Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.
Mutakhir ini, isu membabitkan kepentingan umat Islam di Malaysia menjadi perhatian ramai antaranya pensijilan halal, yang mengundang perdebatan antara masyarakat Islam dengan bukan Islam.
Isu mengenai pensijilan halal itu mengundang polemik berikutan cadangan dilontarkan pihak berkuasa agama untuk mewajibkan pensijilan halal terutama kepada pengusaha bukan Islam yang tidak menghidangkan makanan mengandungi daging babi atau alkohol.
Bagaimanapun, kerajaan akhirnya memutuskan untuk mengekalkan dasar sedia ada yang diguna pakai sejak 1974, iaitu melaksanakan pensijilan halal secara sukarela.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengekalan dasar sedia ada bermaksud ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
Malaysia juga pernah dihambat kontroversi dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di pasar raya milik pengusaha bukan Islam dan kes berkenaan telah selesai dibicarakan di mahkamah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg