Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar kongsi video imbau nostalgia bersama Abdullah Badawi

Video dedikasi papar kededua tokoh politik M’sia; Khairy Jamaluddin zahirkan penghargaan atas ingatan kepada bapa mentua
Apr 16, 2025 | 12:58 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkongsi gambar kenangan beliau bersama Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, atau turut dikenali sebagai ‘Pak Lah’, yang meninggal dunia pada 14 April. Gambar itu dimuat naik ke akaun media sosial Datuk Anwar.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkongsi gambar kenangan beliau bersama Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, atau turut dikenali sebagai ‘Pak Lah’, yang meninggal dunia pada 14 April. Gambar itu dimuat naik ke akaun media sosial Datuk Anwar. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengimbau nostalgia bersama Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang kembali ke rahmatullah pada 14 April.

Datuk Anwar mendedikasikan sebuah video sepanjang hampir seminit, memaparkan gambar kededua tokoh itu, berlatarkan lagu Pergi, dendangan Aizat Amdan, di akaun media sosialnya, dengan keterangan gambar: “Susuk Pak Lah pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada rakyat dan negara”.

“Berehatlah, Pak Lah. Malaysia ternyata terhutang budi atas jasa sang negarawan yang membumi,” katanya dalam hantaran itu.

Hantaran itu turut menerima komen daripada mantan menteri, Encik Khairy Jamaluddin, yang juga menantu Allahyarham.

Encik Khairy menzahirkan penghargaan atas ingatan kepada bapa mentuanya itu.

“Kami sekeluarga amat tersentuh dengan kemuliaan kata Datuk Seri (Anwar) kepada ayahanda Pak Lah.

“Penghargaan jua kepada Datuk Seri dan kerajaan kerana memberi penghormatan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat pengebumian yang teristimewa dan kebenaran untuk jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan bersama negarawan lain,” katanya.

Jenazah Tun Abdullah selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan di Masjid Negara pada kira-kira 2.30 petang, 15 April.

Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam, 14 April selepas dimasukkan ke IJN kerana sukar bernafas.

Sementara itu Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dalam surat utusan takziah kepada isteri Tun Abdullah, Tun Jeanne Abdullah, menyifatkan Allahyarham banyak memberi inspirasi kepada rakyat dan berjaya mengangkat imej Asean di persada antarabangsa.

Beliau mengenang jasa Tun Abdullah yang memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009.

“Beliau turut mempertahankan semangat serantau Asean ketika dunia sedang mengalami perubahan besar.

“Tun Abdullah telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan membawa banyak kemajuan dalam pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, pula menyifatkan kepimpinan Tun Abdullah berperanan penting dalam pembangunan sosioekonomi negara dan meninggalkan legasi yang akan terus menjadi inspirasi kepada generasi mendatang.

Tun Abdullah adalah pemimpin ulung Malaysia dan sahabat akrab kepada Kemboja.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Kemboja, saya merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, serta kepada ahli keluarga Tun Abdullah atas kehilangan besar ini,” katanya.

Keluarga Allahyarham terus menerima rakaman ucapan takziah atas kepulangan Tun Abdullah ke rahmatullah, termasuk daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud; dan Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg