KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkongsi pengalaman menarik menaiki ‘The Beast’ bersama Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dengan beliau berpeluang menyampaikan pandangan peribadinya dalam pelbagai perkara termasuk isu Gaza.
Datuk Anwar yang juga Pengerusi Asean berkata rundingan peribadi ‘empat mata’ beliau dengan Encik Trump menjadi lebih mudah, memandangkan pemimpin Amerika itu seorang pendengar yang baik.
Ketika berada dalam kenderaan ‘The Beast’, yang diiktiraf paling selamat di dunia itu, isu Gaza turut disentuh dan Datuk Anwar juga berkongsi pengalamannya bertemu beberapa kenalan Hamas di Doha, Qatar, sebelum ini.
“Saya harus mengakui bahawa beliau mendengar saya dengan teliti. Saya rasa sudah berusaha sebaik mungkin untuk sampaikan suara ini (tentang Gaza).
“Jika beliau tidak berada di sini, tidak akan ada peluang (untuk bercakap secara terus).
“Saya sehabis baik memujuknya untuk mengatakan bahawa inisiatif keamanan mesti komprehensif, mesti bertahan lama, mesti adil,” katanya pada satu sidang media selepas berakhir Sidang Kemuncak Asean di sini pada 28 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, Datuk Anwar menyambut ketibaan Encik Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Oktober sebelum dibawa menaiki ‘The Beast’ bersama Presiden Amerika itu menuju lokasi penganjuran Sidang Kemuncak Asean itu.
Menurut Datuk Anwar, Encik Trump menerima baik gesaannya dan memberikan pandangan balas, namun perbualan diplomatik antara pemimpin tidak wajar dikongsi kepada umum.
Beliau menambah bahawa Encik Trump juga menyatakan pandangan terhadap beberapa isu terutama berkaitan China, dan mengapa Malaysia mengundang Brazil dan Afrika Selatan pada sidang kali ini.
“Beliau memberikan beberapa pandangan. Saya juga tidak setuju tentang sesetengah isu yang dibangkitkan. Mungkin beliau mahu tahu, tentang peraturan, negara jiran.
“Mengenai tarif 19 peratus, masih tinggi bagi kami, tetapi kini beliau sudah mengenakan tarif sifar terhadap kemudahan utama eksport kita,” kongsi Datuk Anwar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg