Walaupun terpaksa bertukar tempat di saat akhir, himpunan membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Puncak Asean ke-47 pada pagi 26 Oktober, tetap berlangsung, namun dengan penyertaan kecil kurang 200 peserta.
Penganjur mendakwa perubahan tapak himpunan dari Ampang Park ke Dataran Merdeka pada saat akhir yang hanya dapat dihebahkan pada pagi 26 Oktober menyebabkan himpunan itu tidak mencapai jumlah peserta yang awalnya dianggarkan ribuan orang.
Pihak berkuasa juga menutup laluan tren ke Ampang Park bermula pagi 26 Oktober sehingga 12 tengah hari.
Langkah itu sekali gus menggugat perancangan awal penganjur untuk himpunan itu diadakan di tapak yang terletak berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tempat berlangsungnya Sidang Puncak Asean.
Bagaimanapun, peserta himpunan yang awalnya hanya puluhan orang di Dataran Merdeka mula bertambah menjelang tengah hari dan mereka melaungkan sokongan terhadap Palestin, walaupun di bawah cuaca panas terik.
Laungan Free Palestine (bebaskan Palestin) dilaungkan kumpulan peserta ‘Himpunan Aman Bantah Trump’ daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak yang turut memegang sepanduk sepanjang himpunan berlangsung dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Kawasan himpunan di Dataran Merdeka itu juga dikawal ketat oleh kira-kira 50 anggota polis.
Jurucakap sekretariat gabungan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan himpunan itu, Encik Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, berkata beliau kesal dengan tindakan pihak berkuasa mengarahkan penutupan laluan tren ke Ampang Park.
Beliau berkata satu pertemuan antara penganjur dan pihak polis telah diadakan pada 25 Oktober dan mereka diminta mengubah tempat himpunan, tetapi penganjur tetap bertegas kerana hebahan himpunan sudah dibuat lebih sebulan lalu.
“Tetapi tak sangka pihak polis melakukan secara keras dengan arahkan penutupan laluan tren di saat akhir.
“Ini tidak menghormati hak warga negara yang dijamin kebebasan berhimpun secara aman, hak bersuara secara terbuka dan ini bertentangan dengan undang-undang atau ultra vires (tiada kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian),” kata aktivis itu yang juga mantan Ahli Parlimen Batu (Kuala Lumpur) dan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bagaimanapun katanya peserta dilihat begitu bersemangat walaupun kehadiran hanya dalam jumlah kecil.
Turut kelihatan hadir pada himpunan itu ialah Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; mantan Menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin; Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Encik Chua berkata himpunan itu bertujuan mendesak Encik Trump mengambil maklum tentang kezaliman terhadap rakyat Palestin dan Amerika harus bertindak menghalang pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel.
Seorang peserta himpunan, Cik Maria Hamdan, 40 tahun, berkata beliau sudah tiba awal di Ampang Park, namun diarahkan beredar oleh polis yang berkawal di kawasan itu.
“Polis beritahu himpunan tak akan dibuat di situ dan minta saya beredar jika tak mahu diambil tindakan. Kemudian saya tengok media sosial dan ternampak poster memaklumkan perubahan tempat himpunan, jadi saya terus ke sini (Dataran Merdeka),” katanya yang datang dari Kajang, Selangor, dengan menaiki motosikal.
Dua pelancong dari Australia turut menyertai himpunan itu selepas ternampak poster di Pasar Seni.
“Kami juga bersama Palestin dan menolak Trump. Kami gembira dapat menyertai himpunan ini dan mahu kongsikan di media sosial,” katanya yang enggan berkongsi nama.
Pengerusi kumpulan advokasi pembebasan Palestin, Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, Profesor Dr Nazari Ismail, berkata kehadiran media antarabangsa ke himpunan itu menjadi petanda mesej himpunan itu diadakan akan sampai kepada pengetahuan Encik Trump.
Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menegaskan penganjur perlu menukar tapak himpunan anti-Trump itu bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan awam kerana Ampang Park berada pada jarak kira-kira 50 meter daripada kawasan zon merah sempena Sidang Puncak Asean.
Encik Trump mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 26 hingga 27 Oktober sempena Sidang Puncak Asean – Amerika ke-13 atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean 2025.
Ini merupakan lawatan sulung Encik Trump ke rantau Asia Tenggara sejak terpilih sebagai Presiden Amerika ke-47 pada Januari 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg