Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Menjayakan reformasi PH perlukan sokongan parti lain

Jun 11, 2025 | 1:29 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Reformasi yang dituntut ramai pihak untuk dilaksana kerajaan Malaysia memerlukan sokongan bukan saja Pakatan Harapan (PH), tetapi parti lain dalam gabungan kerajaan ketika ini.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata komitmen PH saja tidak mencukupi dalam menjayakan reformasi dan perubahan yang dihasratkan memandangkan komponen itu hanya memiliki 82 kerusi di Parlimen.

“Kalau kamu bercakap mengenai PH, kami ada 82 kerusi di Parlimen. Tidak cukup malah ia bukan majoriti mudah pun. Jadi gabungan parti ini perlu bekerja bersama.

“Namun kita bertuah, kerana Umno, Barisan Nasional (BN) kini sudah bersama menjadi salah satu parti teras yang komited terhadap pembaharuan dan menyokong (perubahan) ini. Tetapi kita tidak boleh ambil mudah,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) pada 10 Jun.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu parti komponen PH, berkata usaha melaksana pembaharuan juga memerlukan masa kerana ia membabitkan proses rundingan dan perbincangan.

“Kerana proses rundingan, perbincangan, ‘engagement’ adalah penting. Mengapa saya kekal pada tahap ini? kerana ia (perubahan itu) relevan dalam apa yang kita katakan,” katanya.

Biarpun kenyataan beliau itu tidak memperincikan mana-mana pihak, namun pada 9 Jun seorang Ahli Parlimen (AP) PKR mula mempersoalkan komitmen kerajaan ketika ini dalam menjayakan reformasi yang pernah dijanjikan mereka dulu.

AP Subang, Encik Wong Chen, dalam kenyataannya menyatakan lebih banyak reformasi boleh dilaksana dan satu-satunya cara ialah AP mesti mendesak kerajaan dengan lebih tegas dari belakang.

Kenyataan Encik Wong ini dibuat sedang pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh Datuk Anwar sudah memasuki separuh penggal pemerintahannya yang pertama selama lima tahun.

Datuk Anwar dikritik kumpulan masyarakat sivil dan juga dalam partinya berhubung reformasi institusi, yang dianggap terlalu perlahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg