Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timbalan Presiden PKR baru, Nurul Izzah, mahu reformasi parti jelang pilihan raya

Susuli kemenangannya dalam pemilihan kepimpinan PKR, atasi saingan penyandang, Rafizi Ramli
May 24, 2025 | 3:07 PM
Cik Nurul Izzah (kanan), puteri sulung kepada pengasas dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, diangkat sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru semasa pemilihan pimpinan Pusat PKR 2025 pada 23 Mei.
Cik Nurul Izzah (kanan), puteri sulung kepada pengasas dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, diangkat sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru semasa pemilihan pimpinan Pusat PKR 2025 pada 23 Mei. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Timbalan Presiden baru Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, menggariskan tiga fokus utama untuk dijayakan bersama barisan kepimpinan bagi merangka usaha memperkasa parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Puteri sulung pengasas dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu berkata usaha melaksanakan reformasi parti antara usaha yang akan dilaksanakannya sebagai persediaan menghadapi PRU16.

“Pertama, saya akan tumpukan untuk merangkul semua usaha dalam parti; kedua, melaksanakan reformasi dalaman; dan ketiga, bergerak menuju PRU seterusnya,” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang jawatan nombor dua parti itu pada 23 Mei malam.

Pusat konvensyen itu bergema dengan laungan ‘reformasi’ ketika kemenangan Cik Nurul Izzah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafasejurus Datuk Anwar merasmikan Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di Johor Bahru.

Cik Nurul Izzah memenangi jawatan itu dengan 9,803 undi, manakala Datuk Seri Rafizi Ramli, yang juga Menteri Ekonomi, hanya meraih 3,866 undi – perbezaan hampir 6,000 undi – dalam pemilihan pimpinan Pusat PKR 2025 yang dijalankan pada sebelah siang 23 Mei.

Mantan Ahli Parlimen Lembah Pantai (Kuala Lumpur) itu turut sempat memohon supaya mendoakannya dan suami yang akan mengerjakan ibadah haji selepas kongres itu berakhir.

Dengan kemenangan Cik Nurul Izzah, Datuk Anwar yang tidak dicabar bagi jawatan Presiden PKR kini berganding dengan puteri sulungnya untuk menerajui parti.

Datuk Anwar sempat mengucapkan tahniah dan berpelukan dengan anak perempuannya itu selepas diumumkan berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Bagaimanapun, Datuk Rafizi yang duduk bersebelahan Datuk Anwar di atas pentas ketika pengumuman itu kelihatan kecewa dengan keputusan dan segera meninggalkan majlis.

Malah, beliau turut tidak menghadiri sesi perbahasan oleh perwakilan kongres yang dihadiri Datuk Anwar sejak pagi 24 Mei dan beliau turut dilaporkan sudah pulang ke Kuala Lumpur.

Dalam catatan di Facebook pada 24 Mei, Datuk Rafizi menjelaskan beliau tidak merasa kecewa dengan kekalahannya itu, sebaliknya mendakwa bebas daripada sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi.

“Jujurnya, saya tidak langsung kecewa. Malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan daripada sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu enggan meneruskan polemik mengenai keputusan pemilihan, namun mendakwa kekalahannya itu seolah sudah disusun.

“Saya amat berbangga dengan ahli biasa PKR dan penyokong yang tetap teguh mempertahan idealisme ini (reformasi) sepanjang kempen, walaupun segala-galanya telah disusun untuk tidak memihak kepada saya. Cita-cita reformasi sebenarnya masih ada harapan,” katanya.

Dalam pemilihan pimpinan Pusat PKR 2025 itu, kemenangan Cik Nurul Izzah turut diiringi kejayaan calon yang sehaluan dengannya bagi empat jawatan Naib Presiden, 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ketua Wanita.

Daripada empat jawatan Naib Presiden dipertanding, tiga berjaya dipertahan oleh penyandang, masing-masing Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Chang Lih Kang.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan menjadi muka baru dalam barisan Naib Presiden, menyingkirkan penyandang jawatan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg